Sunday, August 1, 2010
Pakatan sebulat suara, Anwar PM
SHAH ALAM, 1 Ogos : Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju memilih Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) sekiranya sokongan rakyat menyebelahi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan itu diputuskan seawal Pilihan Raya Tahun 1999, sejak gabungan parti pembangkang antara tiga parti dipanggil Barisan Alternatif (BA).
“Pada masa itu, ketiga-tiga parti bersetuju sekiranya sokongan rakyat menyebelahi PR, Anwar akan diangkat menjadi PM. Persefahaman ini telah dipersetujui seluruh anggota parti dan ia konsisten sehingga ke hari ini.
“Buat masa sekarang pun, apabila PR berada dalam parlimen, ketiga-tiga parti tetap setuju Anwar menjadi Ketua Pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung jawatan PM lebih sesuai digalas calon dari parti Pas berbanding Anwar, Saifuddin berkata, Presiden MCA itu sepatutnya menumpukan hal ehwal ‘rumah tangga’ MCA terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan dalaman parti lain.
“Sepatutnya, beliau perlu kukuhkan kembali MCA kerana parti itu sedang porak-peranda sekarang. Kenyataan beliau itu tidak lain tidak bukan bertujuan menjauhkan sokongan komuniti khususnya kaum Tiong Hua terhadap PKR.
“Pemikiran politik takuk lama seperti ini berterusan kerana mereka mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa UMNO sebuah parti yang baik dan Pas parti yang lemah. Pemikiran seperti ini sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Presiden MCA itu tidak perlu buang masa dan harus berhenti mengadu domba antara parti komponen dalam PR.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, PR tidak pernah berbincang mengenai calon selain Anwar sekiranya parti itu menang pilihan raya akan datang kerana misi utama mereka menumbangkan BN terlebih dahulu.
“Jawatan tidak berapa penting dalam pimpinan kerana masalah rakyat lebih utama sekarang. Kita mahu menyelamatkan rakyat daripada kehancuran ekonomi negara supaya rakyat terbela dan negara terjaga.
“Jawatan itu hanya sebagai pengemudi dalam kepimpinan. Sesiapapun pun tiada masalah memegang jawatan sebagai pemimpin, katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment