Tuesday, August 3, 2010

Pemuda PAS Parit Buntar bantah saman ekor





















PARIT BUNTAR, 3 Ogos :
Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan yang mengajak seluruh rakyat menurunkan tandatangan sebagai tanda protes terhadap saman ekor yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, saman ekor ini merupakan satu tindakan tidak wajar kerana mereka yang menerima notis saman terpaksa membayar saman tanpa diketahui kerana tiada tandatangan pemilik kereta pada surat saman tersebut.

" Pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan meletakkan nombor plat palsu bagi mengelakkan kenderaan mereka disaman melalui saman ekor ini" katanya

Beliau yang juga Setiausaha kepada Ahli Parlimen Parit Buntar menyatakan sudah ada beberapa orang datang ke Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar mengadu berkenaan saman yang mereka terima

" Mereka memprotes di atas saman ekor yang dikenakan terhadap mereka kerana ada yang menerima lima saman sekaligus, malah dikumpulkan sejak 2007. Saman yang terkumpul berjumlah lebih RM 1,000.00" katanya

Hairul Nizam berkata, rakyat sekarang menjadi takut terpaksa menghabiskan wang sebanyak itu menjelaskan saman kerana memikirkan mereka akan disekat untuk memperbaharui cukai jalan.

" Apa yang menghairankan mengapakah saman ekor pada tahun 2007 tidak diketahui maklumatnya oleh pemilik kenderaan tetapi dikumpulkan sehingga tahun 2010 baru diserahkan semuanya.

" Sekiranya dari tahun 2007 sudah ada saman tersebut, sudah tentulah di dalam sistem komputer sudah ada maklumat yang menyekat memperbaharui cukai jalan pada tahun (2008) berikutnya. Ini satu tindakan tidak efisien yang membebankan rakyat" katanya

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar akan menyediakan satu kain rentang khas untuk ditandatangani oleh segenap lapisan masyarakat bagi membantah saman ekor ini.

"Tandatangan ini akan diserahkan kepada Pemuda PAS Pusat untuk dihantar bersama memorandum kepada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pengangkutan" katanya.

No comments: