BAYAN BARU, 9 Ogos : Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang dihujani tuduhan "pengkhianat bangsa" oleh parti musuh, mencabar UMNO dan Barisan Nasional agar mempertahankan hak untuk Melayu yang miskin dan terpinggir, dan bukan mempertahankan Melayu yang kaya raya di sebaliknya.
"Seringkali mereka menguar-uarkan mahu mempertahankan hak orang Melayu. Tetapi Melayu yang seperti mana mereka pertahankan? Kita tidak mahu mereka mempertahankan Melayu yang kaya raya. Kita mahu mereka memperjuangkan nasib dan mempertahankan Melayu yang miskin dan terpinggir!"
Ketua Pembangkang Parlimen (gambar kiri) ini berkata, "Jika benar mereka mahu laksanakan pembasmian kemiskinan, maka ianya harus dilakukan secara adil kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira fahaman dan ideologi politik mereka. Jangan yang menyokong mereka sahaja dibantu sedangkan yang tidak mendokong mereka diabaikan dan dibiarkan."
Anwar membidas kerajaan pimpinan UMNO-BN kerana mempermainkan sentimen perkauman, malah tidak adil dalam menangani masalah yang membebani rakyat, khususnya yang miskin dan melarat. Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Ceramah sempena Jamuan Rakyat anjuran PKR Cabang Bayan Baru di tapak pesta, Sungai Nibong, semalam.
Majlis jamuan ini menarik kehadirian kira-kira 350 orang, yang kebanyakannya keturunan Cina. Hujah-hujah disambut dengan tepukan apabila penceramah menyentuh isu rasuah dan sebagainya.
Belum menikmati kemerdekaan sepenuhnya
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkata, walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 53 tahun, tetapi rakyat negara ini masih lagi belum menikmati kemerdekaan sepenuhnya.
"Amalan Kerajaan UMNO-BN yang tidak memberi kebebasan bersuara kepada rakyat adalah bukti yang nyata bahawa kemerdekaan belum sempurna dalam negara ini. Kita dibenarkan bersuara untuk sementara, tetapi selepas itu ditahan dan disekat kerana bersuara menentang demokrasi yang mereka amalkan," tambahnya lagi.
Sementara itu, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim (gambar kanan) yang turut hadir sebagai penceramah pula menggariskan matlamat untuk Pakatan Rakyat (PR), agar tiga tunggak penting yang menjadi amalan harus diperjuangkan supaya ia menjadi realiti.
"PR memperjuangkan agar demokrasi secara telus diamalkan. Pemimpin yang bertanggungjawab adalah aspirasi kita untuk mencapainya, serta rakyat yang bersatu padu adalah antara asas dan perkara pokok yang harus dijadikan teras utama."
"Dengan adanya tiga penyatuan ini, saya optimis PR mampu untuk merubah lanskap politik negara dan membawa satu politik baru bagi memajukan negara dan menyatupadukan rakyat," katanya.
Zaid juga menuduh bahawa dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh UMNO-BN adalah antara punca kepada berlakunya perpecahan dalam masyarakat.
"Melalui sistem pecah dan perintah ini ia tidak akan bertahan lama apabila penyatuan untuk menyatukan semua rakyat tidak menjadi realiti.
Ekoran daripada itu, negara tidak akan mampu untuk mencapai kejayaan yang mutlak apabila berlakunya kronisme dan pengagihan kekayaan mengikut sistem yang sedia ada diamalkan oleh BN.
Ekoran daripada itu, negara tidak akan mampu untuk mencapai kejayaan yang mutlak apabila berlakunya kronisme dan pengagihan kekayaan mengikut sistem yang sedia ada diamalkan oleh BN.
Turut hadir dalam majlis ceramah sempena jamuan rakyat anjuran PKR Cabang Bayan Baru di tapak pesta, Sungai Nibong semalam ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman, ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Tzin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
No comments:
Post a Comment