Tuesday, August 24, 2010
Tiada kesalahan doa mohon beri hidayah
BUKIT MERTAJAM , 25 Ogos : “Tidak menjadi kesalahan untuk berdoa kepada orang bukan Islam untuk diberikan hidayah kepada mereka sama ada dalam khutbah atau sebaliknya,” ujar Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man ketika mengulas isu doa dalam khutbah yang menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang hangat diperkatakan.
Beliau berkata, sepatutnya perkara itu tidak menjadi isu kerana ia sudah lama berlaku dan pada zaman penyebaran Islam oleh Rasulullah baginda pernah mendoakan supaya orang bukan Islam diberi hidayah untuk memeluk agama Islam.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan itu hanya akan menaikkan kemarahan dalam kalangan umat Islam seterusnya mencemarkan imej baik Islam di mata bangsa lain.
“Saya tidak mahu mengulas tentang isu Ketua Menteri, tetapi bercakap secara keseluruhan yang mana doa untuk orang bukan Islam itu dibolehkan agar mereka diberi petunjuk dan hidayah, bukan mendoakan kesejahteraan mereka.
“Kita menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama selaku ketua agama Islam di Malaysia dan negeri ini, serta tidak pernah menggugurkan nama mereka dalam doa seperti yang didakwa.
“Kebiasaannya doa dibaca dalam Bahasa Arab yang mana ramai tidak faham akan tafsirannya, tetapi apabila ia dibaca dalam Bahasa Melayu, terus menjadi isu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Cherok Tokun, di sini.
Dalam pada itu, Salleh Man yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkata, persoalan sebaliknya perlu ditujukan kepada pihak masjid sendiri yang mengundang khatib luar menyampaikan khutbah, sedangkan mereka mempunyai imam dan Pengerusi Kariah yang boleh membacakannya.
Katanya, masalah timbul apabila kebanyakan Pengerusi Kariah di masjid tidak berkebolehan membaca khutbah, sebaliknya hanya bergantung kepada imam.
Jadi, masjid terpaksa mengundang khatib dari luar untuk membacakannya jika imam mempunyai masalah ketika mana dia diperlukan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak masjid melatih pengerusi untuk membaca khutbah sendiri dan dengan itu tidak akan timbul masalah sedemikian pada masa akan datang.
“Saya berharap agar pihak berkenaan tidak memperbesarkan isu ini. Orang yang membacanya juga sudah membuat pengakuan, jadi diharap ia sudah selesai.
“Apa yang berlaku biar dijadikan iktibar supaya perkara sama tidak berulang. Tetapi, bagi yang sudah membuat laporan polis, tidak mengapa. Biar polis sahaja yang menyiasat,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment