KUALA LUMPUR, 25 Ogos: PAS Kelantan antara paling tinggi berjaya menarik pengundi baru di negeri itu mendaftar sebagai pemilih berbanding di negeri Pakatan Rakyat yang lain.
Dalam rekod senarai pemilih didaftar Penolong Pendaftar dari Januari hingga Jun 2010, bagi parti-parti utama di Semenanjung, PAS Kelantan merekodkan sejumlah 15,853 pendaftaran pemilih baru yang majoritinya adalah Melayu.
Berbanding di Terengganu, PAS negeri itu berjaya mendaftarkan 4,291 pengundi baru manakala di Kedah (6,583) dan di Selangor (4,516).
Jika dilihat dari sudut keberjayaan dan kesungguhan menarik pengundi baru mendaftar sebagai pemilih, maka tidak hairanlah kenapa PAS Kelantan mampu mengekalkan kuasa mereka lebih dari 20 tahun.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Harun (gambar bawah), PAS negeri itu mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik pengundi baru mendaftar.
"Daftar pemilih satu kerja yang orang yang kata kalau tak gigih tak boleh buat, kalau tak bersemangat betul tak boleh buat dan kita ada strategi sendiri yang tak boleh didedahkan," katanya.
Menurutnya lagi, kejayaan tersebut juga didorong kesungguhan setiap ahli PAS negeri itu yang bergerak mencari pemilih baru boleh dikatakan hampir setiap hari.
"Daftar pemilih ini memang kita buat dari semasa ke semasa, setiap hari.
"Semua terlibat, setiap ahli terlibat dengan daftar pemilih ini sebab kalau mak ayah dia kuat PAS sekalipun, tapi anak tak mendaftar sebagai pemilih, tak guna juga," tambahnya lagi.
Selain itu menurutnya, ianya juga sebagai bukti kesungguhan PAS Kelantan merealisasikan harapan menuju Putrajaya seperti yang disasarkan Pakatan Rakyat.
Harapan tanpa perancangan dan gerak kerja dari akr umbi katanya hanya akan menjadi angan-angan kosong.
"Kalau kita buat kerja untuk menuju Putrajaya, insya Allah ia akan berjaya.
"Tapi kalau setakat bercakap sahaja, tapi tinggalkan kerja-kerja lain, maka harapan untuk melangkah ke Putrajaya itu hanya angan-angan sahaja.
"Syarat-syarat untuk menawan Putrajaya itu semua orang sudah tahu cuma tinggal fasa gerak kerja sahaja," katanya.
PAS Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 pada 2004 lalu, pernah memerintah negeri itu dengan lebihan hanya satu kerusi.
Bagaimanapun pada PRU ke-12 Mac 2008 lalu, tsunami politik yang melanda negara telah mengukuhkan kembali penguasaan PAS negeri itu dengan memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding hanya enam kerusi diperolehi Barisan Nasional.
Pada pilihan raya itu juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi Dun.
Manakala di Terengganu pula, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Arifin Deraman mensasarkan jumlah 15 ribu pemilih baru akan didaftarkan.
"Dalam masa enam bulan ini kita daftar seramai 4200 lebih dan kita jangka hingga hujung tahun antara Julai hingga Disember kita jangka seramai 10 ribu. Maksudnya kita nak sampai 15 ribu dalam tempoh setahun," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan, antara masalah yang dihadapi mereka dalam enam bulan pertama ini adalah terpaksa berdepan dengan Umno negeri itu.
Ramai anak muda negeri itu jelasnya, memilih untuk mendaftar pemilih dengan Umno kerana diberi habuan berupa wang ringgit.
"Cuma saya tak nafikan satu halangan yang mungkin tak berlaku di negeri-negeri lain, yang berdaftar dengan Umno diberi duit. Sebab itu ramai anak orang PAS berdaftar dengan Umno dan itu yang menyebabkan peratus jadi rendah," jelasnya lagi.
Dalam Pada itu DAP pula mencatatkan rekod paling tinggi sehingga Jun tahun ini apabila berjaya mendaftar 20,274 pemilih baru di negeri Pulau Pinang yang dikuasai mereka.hrkh
No comments:
Post a Comment