Wednesday, September 1, 2010

Jangan mimpi hendak tawan Pulau Pinang


GEORGETOWN, 2 Sept. : Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya ‘jangan bermimpi’ untuk merampas Pulau Pinang daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ekoran kedudukan parti itu kini disifatkan sangat kukuh di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, walaupun pelbagai tuduhan dan ‘serangan’ yang dibuat UMNO dan BN terhadap parti itu namun tidak menggugat kedudukan mereka, malah semakin stabil dengan segala usaha bagi memajukan negeri itu.


“Kalau kita lihat pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedikit ‘diganggu’ pihak lawan, namun ia masih stabil kerana pentadbiran yang diguna pakai sangat disenangi rakyat kerana Selangor sangat diingini oleh BN untuk menakluk semula sebab itu mereka sanggup buat apa saja untuk dapatkan semula Selangor. Pulau Pinang mereka sudah tahu mereka ‘tidak boleh makan’," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Lawatan Delegasi Kerajaan Wilayah Anhui dan Program Pemadanan Perniagaan: Meneroka Pasaran Antarabangsa China, semalam.

Menurutnya, BN kerap mengatakan PR tidak stabil selain tidak kukuh namun apa yang terjadi adalah sebaliknya kerana pergolakan yang berlaku sekarang bukannya di dalam PR namun pada BN.

“PR kukuh walaupun diserang ‘musuh’ dalaman dan luaran yang mana ‘musuh’ dalaman semuanya sudah habis iaitu tiada lagi yang ingin lompat parti atau sebagainya, proses pencerahan juga semuanya sudah selesai dan yang tinggal semuanya yang betul-betul setia pada pegangan parti.

“Saya akui, walaupun ada baki-baki ‘musuh’ ini, namun mereka sudah tidak bermaya dan peluang sangat cerah untuk PKR bertapak di sini kerana mereka yang tidak bermaya ini tidak berpeluang lagi untuk menimbulkan masalah dalam parti selain tiada lagi isu lompat parti atau keluar parti kerana ini isu sudah lapuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mansor berkata program Pemadanan Perniagaan: Meneroka Pasaran Antarabangsa China itu diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam pelbagai bidang mengenai peluang pemasaran di China.SH

No comments: