Sunday, September 26, 2010

Pemuda Umno tuduh tanpa bukti


KOTA BHARU, 27 Sept. : Dewan Pemuda PAS negeri mencabar Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian mengemukakan bukti terhadap tuduhannya yang menyatakan terdapat unsur penyelewengan dilakukan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ketuanya, Abd Latiff Abdul Rahman berkata, sebagai ketua amatlah malang sekiranya Anuar melemparkan tuduhan tanpa mengemukakan bukti asas yang kukuh.


“Anuar yang mendakwa dirinya sebagai Pengerusi Orang Muda Antikorupsi (Ombak) sepatutnya bercakap berdasarkan fakta dan bukannya rekaan semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Anuar dalam satu kenyataannya mahu pihak berkuasa menyiasat Kerajaan Negeri yang dikatakan menerima sumbangan RM4 bilion dari syarikat I’da World Group untuk membangunkan negeri ini.

Menurut Anuar, penyiasatan itu penting kerana sebelum ini terdapat beberapa kes penyelewengan yang dilakukan Kerajaan Negeri pimpinan Pas itu.

Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang menyifatkan kenyataan Anuar itu sebagai melatah yang dikeluarkan atas sentimen politik yang keterlaluan.

Menurutnya, Pemuda UMNO seharusnya menggunakan pertimbangan akal yang waras sebelum mempercayai dakwaan adanya derma sebanyak itu.

“Barangkali sudah lama UMNO khususnya di Kelantan menunggu-nunggu isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Kelantan lantas bertindak pantas mengeluarkan kenyataan walaupun dakwaan yang wujud samar saja.

“PAS mencadangkan Pemuda UMNO, khususnya Anuar menumpukan perhatian kepada isu-isu penyelewengan yang benar-benar berlaku atau sekurang-kurangnya mengawal pembahagian duit wang ihsan yang dirompak daripada royalti minyak Kelantan agar tidak dijadikan senjata politik oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.SH

No comments: