Monday, September 20, 2010

Sultan Johor berangkat kunjungan mesra


KOTA BHARU, 21 Sept. : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berangkat ke negeri ini semalam bagi melakukan kunjungan mesra ke atas Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra yang dimasyhurkan sebagai pemerintah negeri minggu lalu.

Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini menggunakan pesawat peribadi disambut oleh Tuanku Muhammad Faris, Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz serta beberapa barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri.


Sejurus tiba, Sultan Ibrahim dan Tuanku Muhammad Faris bersama-sama dengan pembesar Kerajaan Negeri berdoa sebelum berangkat ke Istana Kota Lama untuk majlis santapan tengah hari.

Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, ketibaan baginda dari Bangkok, Thailand diiringi oleh lapan pembesar negeri dan disambut kira-kira 300 orang pegawai istana dan kepimpinan Kerajaan Negeri

“Untuk tujuan itu, baginda santap bersama di Istana Kota Lama untuk menjalinkan hubungan yang lebih kukuh antara dua negeri ini,” katanya ketika ditemui sejurus ketibaan Sultan Ibrahim.

Tuanku Muhammad Faris yang sebelum ini dilantik sebagai Pemangku Raja dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ahad lalu, sekali gus menamatkan krisis istana yang berlarutan setahun lalu.

Kunjungan Sultan Ibrahim ke negeri ini yang pertama selepas Tuanku Muhammad Faris dimasyhurkan dan sebagai langkah mengalu-alukan pemerintah baru negeri Kelantan ini.SH

No comments: