Thursday, October 7, 2010
Projek tak perlu segera demi kepentingan rakyat
SHAH ALAM , 7 Okt. : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memandang serius kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bahawa kementeriannya akan menyaman Kerajaan Negeri jika isu kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 tidak disele-saikan akhir tahun ini.
Beliau berkata, sepatutnya Kah Fui tidak perlu mengambil tindakan itu, sebaliknya bekerjasama dalam menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air di negeri ini yang tertangguh hampir dua tahun.
Katanya, langkah itu lebih penting kepada rakyat negeri ini kerana ia akan memastikan tarif air munasabah serta perkhidmatan lebih efisien.
“Kerajaan Negeri mengulangi pendirian bahawa projek ini tidak perlu disegerakan kerana bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019.
“Keputusan ini selaras dengan metodologi yang digunakan oleh Majlis Sumber Air Negara 2000-2050 yang mewajarkan kajian ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini semalam.
Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak menolak sepenuhnya projek loji rawatan air tersebut.
Menurutnya, selepas rundingan penyusunan semula industri air itu selesai, barulah Kerajaan Negeri menimbang untuk membinanya.
“Kita mempersoalkan sikap Kerajaan Pusat yang mendahulukan projek loji rawatan ini, seolah-olah ia amat penting dalam menyelesaikan masalah perkhidmatan air di negeri ini.
“Jika pembinaan projek itu dimulakan, ia akan hanya dapat beroperasi dalam masa tiga tahun. Ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi hari ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam membuat persediaan pembinaan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan jawatan Pengarah Kawal Selia Air yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Pembekalan Air 1997.
”Kerajaan Negeri akan meminta Pengarah Kawal Selia Air untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam meneliti projek tersebut, termasuk pelantikan kontraktor untuk membina loji berkenaan.
“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk mengemas kini pembangunan operasi air di Selangor.
Beliau berpendapat, Kerajaan Negeri adalah entiti terbaik untuk mengambil alih industri air di Selangor bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan memuaskan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment