MARANG, 3 Okt: Umno yang menolak Islam sebagai dasar perjuangannya kosong dan tidak mempunyai roh tarbiah, berbeza dengan PAS yang menjadikan tarbiah sebagai asas perjuangannya.
Justeru itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, program tarbiah seperti Ijtima' Tarbawi yang dianjurkan oleh Pemuda PAS tidak dapat dianjurkan oleh Umno kerana parti itu tidak mengambil Islam sebagai teras perjuangan.
"Umno, dia tolak Islam automatik dia tolak roh, bila dia tolak Islam, Nabi Muhammad pun dia tolak, al-Quran pun dia tolak, Allah Taala pun dia tolak," katanya dalam pidato sempena Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS Pusat di Masjid Rusila, malam tadi.
Katanya, akibat itu perjuangan Umno hanya setakat dunia sahaja.
"Umno kena reti, bila dia tolak Islam, ertinya dia tolak roh, kosongkan roh, yang tinggal jisim saja.
"Maka bagi dia segala pembangunan ni, segala hidup ini, khusus untuk dunia sahaja, akhirat dia tak fikir," ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.
Ini, katanya berbeza dengan PAS, yang menjadikan akhirat sebagai matlamat perjuangan, mesti mempunyai kekuatan jasmani dan rohani.
"Kita sebagai orang Islam dan memperjuangkan Islam kedua-dua (jasmani dan rohani), kita kena jaga.
"Jika kita berpolitik, kita ingat supaya selamat di dalam kubur, kita berpolitik supaya ingat di Padang Mahsyar, berpolitik supaya selamat di dalam syurga,” katanya.
Sebelum itu, beliau melancarkan buku terbaru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang bertajuk 'Palestin Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan'.
Turut memberikan ceramah ialah Ahli Parlimen Ikhwan Muslimin Mesir, Sheikh Abdul Mas’ud Mohamaed Asqar, Datuk Mahfuz Omar, Ustaz Idris Ahmad dan Ustazah Nuridah Mohd Salleh.hrkh
No comments:
Post a Comment