PETALING JAYA 28 Nov. : Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semalam diberikan kepercayaan agar terus kekal sebagai ketua umumnya berkata, walaupun diserang bertubi-tubi oleh Umno-Barisan Nasional (BN) akan tetap bertahan bagi memperjuangkan hak rakyat.
"Ramai kawan-kawan tanya sama ada saya rungsing dengan serangan yang dibuat Umno-BN, saya cakap jangan dengar.
"Walau apa pun serangan, saya akan tetap bertahan. Yang penting adalah keyakinan saya terhadap parti," kata Penasihat PKR itu ketika berucap pada program khas bersama perwakilan Kongres Nasional PKR di sini malam tadi lapor The Malaysian Insider.
Anwar berkata, ahli dan kepimpinan parti perlu yakin terhadap perjuangan sekiranya mahu membawa perubahan.
"Kita kena ada keyakinan, kalau yakin akan perjuangan ini, baru kita boleh maju dengan kuat demi kepentingan dan kebebasan rakyat.
"Semuanya kena bermula dengan keyakinan, ini bukan gimik poltik. Kita perlu buktikan komitmen bahawa kita ini adalah parti yang berbeza," kata Ketua Pembangkang ini.
Anwar berkata, sesiapa yang mahu menyertai parti itu terlebih dahulu perlu memahami asas perjuangan PKR.
"PKR adalah parti pejuangan, siapa yang nak masuk parti ini perlu faham agenda kita.
"Agenda parti adalah perjuangan dan keadilan yang selama ini menjadi tunggak kita. Kekuatan parti kita berbeza dengan Umno-BN.
"Dalam perjuangan keyakinan itu mesti ada, selama ini kita diserang bertubi-tubi. Kenapa kita diserang? Kerana kita adalah parti yang memperjuangkan keadilan dan mahu membebaskan rakyat daripada cengkaman kezaliman Umno-BN," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata Umno-BN akan melakukan apa sahaja untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap parti itu.
"Umno menggunakan media untuk menyerang kita, kenapa? Kerana mereka mahu menghakis keyakinan kita terhadap parti tapi adakah mereka berjaya? Tidak..
"Bila saya minta seranglah saya sebanyak mungkin mereka tidak berani kerana tiada keyakinan apa yang mereka boleh tunjukkan adalah kuasa.
"Jadi kita perlu yakin terhadap perjuangan parti, kita perlu yakin kepada perubahan untuk tegakkan keadilan untuk rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment