Tuesday, November 9, 2010

Hampir semua syor Zaid sudah dipenuhi



















PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail meminta Datuk Mohd Zaid Ibrahim supaya tidak menjadikan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) atau Sekretariat sebagai "kambing hitam" apabila mendakwa berlakunya penyelewengan dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat.

Ini kerana katanya, hampir kesemua syor yang dikemukakan oleh Zaid ekoran ketidakpuasan hatinya berhubung tatacara pemilihan pusat telah pun dipenuhi dan dilaksanakan oleh pihak sekretariat.

Beliau berpendapat, adalah mustahil Datuk Zaid boleh menang di kesemua cabang setelah 87 cabang habis menjalankan pemilihan masing-masing sehingga hari ini.

"Apatah lagi atas permintaan Datuk Zaid sendiri, ada polling atau counting agent dibenarkan bertugas.

"Jangan jadikan JPP atau Sekretariat sebagai scapegoat (kambing hitam). Salahkan jentera sendiri. Sekiranya kita gagal memobilisasikan jentera kita dan melantik wakil-wakil tersebut bagi menjaga kepentingan calon yang bertanding.

"Kenapa tak boleh adakan jumlah yang mencukupi bagi mengawasi setiap peti undi?" katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Saifuddin juga berkata, daripada 87 cabang yang telah pun selesai membuah pemilihan, Datuk Zaid menang 38 cabang. Azmin menang di 37 cabang dan Mustaffa, 11 cabang.

Katanya, satu cabang mencapai keputusan seri untuk kedua-dua calon itu.

"Ini adalah fakta apabila kita mensegmentasikan keputusan mengikut cabang. Lalu kenapakah kemenangan itu, Azmin masih mendahului. Alasannya mudah.

"Ini kerana mobilisasi yang dilakukan oleh jentera beliau adalah lebih baik berbanding dengan jentera calon-calon lain. Perkara ini adalah di luar kawalan Sekretariat dan JPP," jelas Saifuddin.

Sementara itu, Saifuddin turut memberitahu, Sekretariat JPP telah menerima pakai enam daripada tujuh cadangan penambahbaikan proses pengundian yang dikemukakan oleh Zaid sempena pemilihan parti itu berlangsung.

Katanya, soal manipulasi undi itu tidak timbul langsung kerana JPP telah mempraktikkan cadangan-cadangan Zaid kepada sekretariat dalam surat bertarikh 5 Oktober lalu.

Antaranya, calon dibenarkan melantik wakil calon dan melantik polling (dan counting agent ) bagi setiap pusat mengundi; kedua, kertas undi mesti bernombor siri bagi mengelakkannya diguna pakai berulang kali selain supaya pengeluaran kertas undi itu dapat dikawal.

Lain-lain termasuk ahli parti yang sah dan diterima sehingga 27 Jun adalah layak untuk mengundi, ruang membuang undi hendaklah diasingkan serta masa mengundi mestilah dipatuhi kecuali kes terpencil dan ahli yang telah membayar yuran sepatutnya ada dalam senarai dan berhak mengundi.

Saifuddin memberitahu, satu-satunya cadangan Zaid yang tidak dapat dipenuhi ialah peti undi haruslah lut cahaya kerana masalah kewangan.

No comments: