KOTA BHARU, 1 Dis: Kerajaan Kelantan hari ini meluluskan ‘hadiah’ sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) setelah Red Warriors berjaya membawa pulang Piala Malaysia, baru-baru ini.
Sumbangan itu sebagai memenuhi janji kerajaan negeri sebelum ini terhadap pasukan Kelantan itu yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia setelah 55 tahun menunggu.
Hadiah wang tunai tersebut juga bagi menggantikan hadiah Umrah yang diberi oleh kerajaan negeri tahun lalu.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, selepas mesyuarat exco, di sini sebentar tadi.
Menurutnya, kerajaan negeri melihat kejayaan besar itu perlu diraikan untuk mereka.
“Kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan itu pada Kafa dan terpulang pada Kafa tarikh yang sesuai perlu diadakan untuk diadakan majlis khas.
“Kita cadangkan biarlah ianya diadakan di Kompleks Kota Darulnaim dan kita raikan sama-sama,”ujarnya.
Pada masa yang sama, katanya bagi meraikan kejayaan Red Warriors juga kerajaan negeri turut melupuskan Cukai Hiburan yang perlu dibayar oleh Kafa kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebanyak RM378,341.11.
Menurutnya, tahun ini kerajaan negeri telah dua kali mengecualikan bayaran itu, iaitu pada bulan April lalu.
Ianya dilakukan sebagai sumbangan terhadap kecemerlangan Kafa dan Red Warriors.
No comments:
Post a Comment