SHAH ALAM, 17 Nov. : Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bersedia untuk menghukum individu-individu yang terlibat dalam penyelewengan sekiranya terbukti bersalah.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat memegang prinsip ketelusan dari awal pemerintahan termasuk tiada usaha melindungi kelemahan mana-mana pihak yang berlaku salah dalam pengurusan harta negeri.
Justeru tambahnya, sikap profesional kerajaan Selangor melantik wakil-wakil pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor melalui sistem temuduga mampu menangkis kelibat kroni seperti yang berlaku ketika pemerintahan Umno-Barisan Nasional terdahulu.
"Jadi di sini kita dapat membezakan antara pemerintahan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat apabila sudah dilantik tiada kepentingan, bila berlaku apa-apa penyelewengan maka orang ini akan dikenakan tindakan. Kita tidak ada menutup, sembunyikan maklumat, tidak cuba membela dengan alasan-alasan remeh dan sebagainnya," jelas beliau yang ditemui TV Selangor di perkarangan Masjid Al-Ehsan, Shah Alam pagi tadi.
"Bagi kita dalam Pakatan Rakyat, kita tidak ada kepentingan. Kita minta rakyat yang ada dalam PKNS, Yayasan Selangor sekiranya ada maklumat, dedahkan. Orang yang bersalah akan dikenakan tindakan. Tidak ada apa yang kita sorok, berpura-pura."
Khalid yang hadir ke majlis Korban di Seksyen 24, Shah Alam pagi tadi turut tidak menafikan kelemahan dalam pengurusan yang baru diambil alih justeru kerajaan Pakatan Rakyat berusaha untuk menurunkan kadar ketirisan ketahap minimal.
Tambah beliau lagi, sekiranya terdapat sebarang masalah dan kelemahan dalam pengurusan Yayasan Selangor seperti yang didakwa maka ianya tidak lagi melibatkan campur tangan pemimpin politik.
"Kalau macam dulu kalau ada penyelewengan ianya atas arahan pemimpin Barisan Nasional kerana mereka mahukan kekayaan dan sebagainya.
"Tapi sekarang ini oleh kerana ianya diserahkan kepada pihak profesional dan mereka sepatutnya menguruskannya dengan cara baik. Jadi sekiranya ada penyelewengan maka pengurusan yang dilantik akan dikenakan tindakan," kata beliau.
Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa kerajaan Selangor membelanjakan sejumlah RM800 ribu untuk kos penganjuran majlis sambutan ulang tahun Yayasan Selangor Jumaat lalu.
Noh juga mendakwa sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberikan kontrak untuk menganjurkannya.
Isu tersebut mula mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan membatalkan hasrat untuk berangkat ke majlis itu apabila dikatakan dukacita kerana kos mengadakannya amat tinggi.
Khalid yang juga Lajnah Politik PAS percaya kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan ketelusan sepanjang pemerintahan parti itu kerana sering melindungi kepentingan individu-individu tertentu melalui kuasa politik.
Beliau yang menyifatkan Noh Omar sebagai kurang akal, turut mengecam tindakan menteri itu membela sekumpulan samseng yang memukul ADUN Tanjung Karang, Ng Suee Lim ketika membuat lawatan bertemu petani di daerah itu minggu lalu.
"Kita zahirkan perbezaan pasal itu, kita mengalu-alukan. Kita tidak ada usaha sorokkan. Bukan macam Noh Omar, bila YB Ng Suee Lim pergi ke Tanjung Karang nak dengar petani punya aduan, kena pukul. Lepas itu Nor Omar membela pula mengatakan munasabah kena pukul. Ini menteri yang sewel sikit," tegas beliau.
Kira-kira 200 orang hadir ke perkarangan Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam pagi tadi menyaksikan 13 ekor lembu dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidil Adha kali ini.
Khalid Samad turut membantu ahli jawatankuasa masjid melapah daging lembu.
No comments:
Post a Comment