Thursday, November 18, 2010

Kerosakan hasil kerja Khir Toyo ambil masa untuk dipulihkan
























SHAH ALAM, 18 Nov. : Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor dijangka memerlukan masa hampir 10 tahun untuk memperbetulkan kesan salah urus dan penyelewengan dari zaman Menteri Besar, Datuk Ser Dr Khir Toyo dan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ng Suee Lim, menyifatkan usaha pemulihan itu bagai menarik rambut dalam tepung, bagi memastikan barah yang berakar sekian lama itu tidak menjejaskan operasi keseluruhan kerajaan negeri.

Ng Suee Lim berkata, Pakatan memperuntukkan sebahagian besar usaha dan masa untuk memperbaiki kerosakan pada sistem urus tadbir kerajaan.

“Untuk merosakkan sistem hanya memerlukan satu hari, sedangkan untuk membaik pulih, memakan masa tiga hingga lima tahun, bahkan kadangkala 10 tahun, cukup memakan masa.

“Bagaimanapun pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, komited untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Kelmarin, Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa, kononnya kerajaan Selangor sekarang lebih teruk berbanding Umno-BN, merujuk kepada dakwaan salah urus di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor.

Kedua-dua kes itu membabitkan pengawai kanan syarikat dan bukan mana-mana pemimpin Pakatan.

Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan dan bertegas mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati bersalah.

Ng Suee Lim berkata, ketegasan yang ditunjukkan ini adalah sebahagian daripada langkah pemulihan urus tadbir anak-anak syarikat kerajaan negeri, yang sekian lama terperangkap dalam budaya pemerintah korup.

“Saya nampak beliau tidak akan minta maaf atas apa yang dilakukan sepanjang lapan tahun memerintah Selangor, kepincangan, rasuah, menjaga kroni – ini semua telah dibuktikan dalam persidangan Selcat, dan didedahkan kepada umum,” katanya.

No comments: