SHAH ALAM 12 Nov: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yakin projek pembersihan Sungai Klang adalah lebih cekap untuk mendapatkan bekalan air berbanding mengimport air dari Sungai Pahang untuk pengguna di Lembah Klang.
"Kita mesti cari sumber air yang lebih murah dan cekap. Pembersihan Sungai Klang adalah lebih cekap daripada mengimpot air dari Pahang (seperti disaran BN)," tulis beliau dalam twitternya.
Khalid, bekas CEO Guthrie yang menjadi menteri besar juga mengkritik kenyataan pihak-pihak tertentu yang mendakwa, krisis air akan berlaku menjelang 2012 di Lembah Klang.
Pihak yang sama juga, katanya, yang berkata Selangor akan kehabisan air pada 2008.
"Anggaran tidak tepat ini diguna untuk justifikasi pembelanjaan melampau untuk bekalan," katanya lagi.
Khalid adalah antara pihak yang menolak cadangan kerajaan BN untuk mengimport air dari Sungai Pahang ke Lembah Kelang kerana perbelanjaannya terlalu besar.
Kerajaan Selangor juga, katanya, tidak mahu membebankan pengguna dengan menaikkan kadar tarif air.
Kerajaan Pusat pula mencadangkan agar air mentah dari Sungai Pahang yang berlebihan dialir ke Selangor melalui saluran khas dari sungai itu ke Selangor.
Melalui projek itu, kerajaan Pusat bercadang untuk membuat dua projek besar iaitu Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).
Menurut kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, memandangkan keperluan untuk melaksanakan Skim ini adalah sesuatu yang sangat kritikal dan segera bagi menampung keperluan defisit air pada 2014, maka ia seharusnya diasingkan dengan proses pemuktamadan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Selangor yang dijangka akan mengambil masa yang lebih panjang.
Sehubungan dengan itu, kata kenyataan itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian ini juga menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan kerjasama serta komitmen dan bukannya sebagai penghalang utama dalam pelaksanaan Skim Bekalan Air Mentah dari Pahang ke Selangor dan juga proses memuktamadkan penstrukturan semula pengurusan bekalan air demi kepentingan rakyat di negeri tersebut.
Menurut taklimat (gambar) yang diberikan kepada Adun Selangor, projek penyaluran air mentah dari Sungai Kelau-Sungai Semantan dari Karak Pahang ke Hulu Langat akan menggunakan sistem pengepaman dan penyaluran air melalui paip berkembar melalui terowong dari Karak ke Hulu Langat bergaris pusat 5.2 meter sepanjang 44.6 km.
Ia mampu mengalirkan air secara mengepam sebanyak 1,890 juta liter air sehari.
Kerja-kerja pengorekan bermula dari 1 Jun 2009 sehingga 30 Mei 2014 (60 bulan) oleh Kontrektor Jepun Shimizu-Nishimatsu-UEMB-IJMJV(SNUI-JV) dengan menggunakan kaedah pengorekan Tunnel Boring Machine (TBM) dan New Australian Tunneling Method (NATM).
Kos pengorekan ini ialah RM1,313,987,497.67. Tetapi kos semua yang melibatkan pengorekan, pembinaan Empangan Kelau (Luas takungan 22.78 km persegi dengan kawasan tadahan 331km, Muka Sauk dan Rumah Pam, Saluran Paip berkembar, Penilaian Alam Sekitar dan Keselamatan & Sosial ialah RM3.936 billion.
Ini tidak termasuk kos penyaluran air ke Lembah Kelang yang dijangka melibatkan jumlah kos RM8 billion.
Projek ini terletak di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) yang melibatkan Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor.
Namun, kerajaan negeri Selangor lebih berminat untuk membuat penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Selangor kerana struktor yang ada sekarang lebih menguntungkan pihak swasta yang menjadi kroni pemimpin BN berbanding dengan rakyat negeri Selangor secara keseluruhan.
Pihaknya telah menjadi kehendak pusat menyalurkan air dari Pahang dengan penstrukturan semula bekalan air Selangor sebagai bahan tawar menawar. Kerajaan negeri mahu ia dijalankan serentak berbanding dengan kehendak Pusat yang mahukan projek saluran air dari Pahang ini diselesaikan dahulu.
No comments:
Post a Comment