Monday, November 8, 2010

Penduduk bantah pembinaan kilang simen


IPOH, 9 Nov. : Kira-kira 40 petani dan penduduk terus membantah cadangan membina sebuah kilang simen yang terletak bersebelahan Kampung Changkat Legong dan Kampung Changkat Tualang.

Wakil petani, Chai Ming Yai, 39, berkata, kawasan pembinaan kilang berkenaan terlalu hampir dengan kediaman penduduk selain menyebabkan petani bakal kehilangan punca pendapatan dan mampu mencemarkan sungai berhampiran.


Menurutnya, pihaknya sudah mati akal memikirkan perkara itu malah tidak tahu ke mana arah tujuan jika mereka dihalau keluar dari kawasan berkenaan.


“Kami difahamkan pihak berkenaan tetap meneruskan agenda untuk membina kilang simen.


“Kami petani di sini bukanlah dari kalangan orang yang berada dan diharap keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini, bukannya menambah beban rakyat apatah lagi memperjudikan nasib petani serta penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.


Penternak, Mohd Ariffin Tahrin, 53, berkata, dia kecewa apabila mengenangkan tanah itu yang diteroka lebih 30 tahun bersama rakannya kini seolah-olah lenyap di depan mata.


“Agensi dan jabatan kerajaan sering menyatakan kepada pengusaha agar membangunkan dulu kawasan dan apabila sudah stabil, baru lakukan permohonan milikan tanah, namun apa gunanya jika sudah diteroka tetapi akhirnya orang lain yang mendapat manfaat.


“Perkara ini ibarat kita menanam tebu dan setelah tebu yang ditanam sudah boleh dituai datang orang yang tidak dikenali mengambil segala hasil, setidak-tidaknya tinggalkanlah sedikit untuk kami,” katanya.


Chai Fu Teck, 52, berkata, pihaknya hairan bagaimana kawasan berkenaan diluluskan untuk dijadikan kilang simen apatah lagi ia berhampiran dengan kawasan perumahan selain dikenali dengan tempat pertanian.


“Selama ini kami turut menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat di Perak dan dapatlah kiranya Kerajaan Negeri membuka ruang bagi petani untuk mendapatkan hak milik tanah memandangkan kami sudah lama mengusahakan tanah ini.


“Saya sama sekali membantah pembinaan kilang simen ini kerana ia tidak membawa manfaat atau keuntungan kepada penduduk dan hanya menyebabkan kerosakan alam sekitar,” katanya.:


Bagi Thye Thin Thoon, 67, tindakan membina kilang simen bukan sahaja dilihat tidak memikirkan masalah penduduk malah dia mendakwa memberi tekanan kepada petani mencari rezeki.


“Kami sudah lama bertapak di sini lebih 30 tahun lalu dan sepanjang itu juga kami bertani demi menyara keluarga, namun ia seperti tidak diendahkan oleh Kerajaan Negeri malah walaupun sudah di bantah.


“Lebih mendukacitakan, pampasan yang ditawarkan sebelum ini tidak seberapa seolah-olah memandang kami sebelah mata tanpa menilai dan mengkaji secara menyeluruh serta kesannya kepada kami,” katanya.


Bagi seorang penduduk, Shasani Tan, 56, jika beroperasi kelak, sudah pasti debu daripada kilang itu berterbangan masuk ke kediaman penduduk dan mengganggu kesihatan mereka.


"Penyakit seperti batuk, selesema, sakit tekak, gatal mata dan sebagainya pasti menghantui kami terutama anak kecil.


“Kehidupan kami tidak lagi aman seperti sekarang sekiranya pembinaan ini diteruskan dan kami bukan bermaksud menolak pembangunan tetapi ia perlulah memikirkan segala aspek berkaitan masyarakat serta ekosistem alam,” katanya.


Katanya, apabila kilang itu beroperasi, penduduk akan menanggung kerugian besar kerana debu kilang akan menyebabkan pokok kelapa sawit, getah, buah-buahan dan hidupan akuatik mati, jika para petani di sini berpindah bersebelahan kilang ini juga akan berhadapan masalah kejatuhan mutu hasil ladang.:


Runding bersama penduduk cari jalan penyelesaian


Sementara: itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang ketika ditemui mendakwa, pihaknya kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri yang meluluskan kawasan itu untuk dijadikan kilang simen.

“Pembinaan kilang simen di kawasan ini bukan sahaja mampu menimbulkan masalah kesihatan, pencemaran alam malah pada masa sama menindas petani di sini.


“Saya hairan bagaimana pihak berkenaan tidak menghiraukan bantahan dan aduan penduduk sebelum ini yang membuat bantahan malah kita turut kecewa mengapa diluluskan tanah kepada individu yang sama sekali tidak mengusahakan kawasan berkenaan dan tidak pula memberikan kelulusan kepada petani asal,” katanya.


Katanya, apa yang penting pihaknya mengharapkan Kerajaan Negeri dapat berunding terutamanya dengan petani dan penduduk serta mendengar sendiri masalah yang dihadapi.


“Diharap kerajaan dapat duduk semeja dengan petani dan penduduk bagi membincangkan jalan penyelesaian yang berkesan terutamanya mereka yang terlibat apatah lagi apabila ada khabar angin projek akan dijalankan dalam masa terdekat.


“Petani mendakwa, pampasan yang diberikan tidak berpatutan dan saya lihat satu penyelesaian secara berperingkat perlu dilakukan segera bagi membela nasib petani termasuk penduduk,” katanya
SH

No comments: