KUALA LUMPUR, 25 Nov. : Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan memberi maklumat tambahan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, "kita sudah mendapat maklumat mengenai perkara itu, perpindahan pengundi awam menjadi pengundi pos.
"Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Rakyat akan menyelaraskan mesyuarat dengan Bersih mengenai perkara tersebut," katanya ketika bercakap dalam sidang media di pejabat beliau di bangunan Parlimen hari ini.
Hadir sama pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum itu, mereka mengadakan mesyuarat bulanan di kalangan pimpinan utama Pakatan Rakyat membabitkan PAS, DAP dan PKR. Anwar berkata, Pakatan Rakyat juga akan memberitahu SPR mengenai cara pendaftaran pemilih yang belum diperbaiki.
Majlis Penerangan
Dalam sidang media tersebut, Anwar juga memberitahu, majlis pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan Majlis Penerangan kepada rakyat akan diadakan mulai pertengahan bulan depan.
Sementara itu, perjumpaan di kalangan menteri besar, ketua menteri Pakatan Rakyat akan diadakan di Shah Alam, lsnin depan.
"Beberapa isu akan dibincangkan antaranya isu menjana ekonomi, konsep federalisme dan mengenai pembangunan masyarakat," kata Anwar.
Makakala, Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 Disember depan.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Parlimen akan menggantungnya selama enam bulan pada akhir sidang dewan akhir bulan depan, Anwar berkata beliau belum menerima notis mengenai perkara tersebut.
Dalam sidang media sama, Nasharuddin berkata, proses persiapan pilihanraya Pakatan Rakyat bermula dengan perhimpunan penyokong parti di Pulau Pinang, 18 Disember depan. Ia disambung dengan Konvenyen Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.
"Pada peringkat ini, kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan selepas itu membawa kepada pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan," katanya.
No comments:
Post a Comment