Monday, November 29, 2010

Teresa memang layak


SHAH ALAM, 3o Nov. : PAS menyokong keputusan mengangkat Teresa Kok sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baru dan yakin dengan pemilihan itu mampu terus memberi nilai tambah serta memperkasa Pakatan Rakyat (PR).

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, ciri-ciri seorang pemimpin yang dipilih mestilah terbaik, berdisiplin dan komited melaksanakan tugas yang diberikan.


Menurutnya, Teresa merupakan pemimpin yang berwibawa dan berkemampuan mampu untuk memimpin serta memantapkan DAP Selangor.

“Dalam era PR, Teresa mempunyai prestasi terbaik dan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Selangor antara faktor yang diambil kira oleh ahli jawatankuasa DAP untuk memilih beliau sebagai pengerusi.

“Beliau juga mempunyai rekod membanggakan sebagai aktivis yang banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja pembelaan dan isu-isu rakyat,” katanya mengulas pemilihan Teresa sebagai Pengerusi DAP Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, setiap urusan dalam parti merupakan isu dalaman yang perlu dihormati.

“Saya menyokong keputusan yang dibuat oleh DAP Selangor dan yakin setiap parti mempunyai kekuatan masing-masing.

“Sesiapapun pemimpin DAP Selangor, keadaan PR akan tetap kukuh kerana kita memperjuangkan konsep tiada rasuah dan telus menjalankan tugas,” katanya.

Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya yang juga Bendahari DAP Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan pula berkata, pemilihan Teresa sebagai Pengerusi DAP Selangor adalah kemenangan kepada seluruh ahli jawatankuasa.

“Kemenangan Teresa adalah kemenangan kedua-dua belah pihak iaitu pasukan Perpaduan dan Pelangi.

“Kedua-dua pasukan telah memberi semangat berpasukan yang baik dan menunjukkan DAP mempunyai pemimpin lapisan yang baik,” katanya.

Terdahulu, 15 ahli jawatankuasa memilih pasukan Perpaduan (Unity) pimpinan Teresa Kok sebagai Pengerusi DAP Selangor dengan kelebihan satu undi daripada pasukan Pelangi (Pelangi) pimpinan Teng Chang Khim.SH

No comments: