Tuesday, November 23, 2010

Umno suka permusuhan, PR utamakan persahabatan

















KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Umno mendakwa sikap berdiam diri PAS dan DAP terhadap kepincangan yang berlaku dalam PKR membuktikan parti komponen Pakatan Rakyat itu seolah-olah tidak berani untuk menegur Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak selaku ketua pembangkang.


Ia ekoran daripada pemilihan PKR 2010 yang baru sahaja menutup tirainya kelmarin yang mana banyak aduan dan kepincangan yang berlaku sepanjang tiga minggu pemilihan tersebut dijalankan.

Malah tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim yang mengambil keputusan untuk keluar parti membuktikan kepincangan yang berlaku adalah serius.

Menurut Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, tindakan pemimpin PAS dan DAP yang masih berdiam diri mungkin disebabkan mereka “tidak berani” untuk menegur Anwar.

“Bagi saya mungkin ada dua sebab kenapa pemimpin PAS dan DAP tidak mahu menegur masalah yang berlaku dalam PKR.

“Yang pertama mungkin mereka rasakan masalah itu boleh diselesaikan dengan baik dalam PKR.

“Dan, yang kedua mungkin pemimpin PAS dan DAP tidak mahu tegur Anwar Ibrahim, mungkin mereka tidak berani tegur ketua pembangkang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata, dakwaan tersebut mungkin ada kebenaran kerana sehingga kini masih tiada kenyataan pemimpin PAS dan DAP meminta PKR menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti itu.

“Saya rasa ia ada kemungkinan juga sebab kita lihat mana ada kenyataan daripada pemimpin PAS dan DAP minta PKR selesaikan masalah yang berlaku.

“Nak selesaikan masalah macam mana? Kalau sudah ada bukti bahawa PKR yang selama ini kononnya memperjuangkan keadilan tidak berbuat demikian.

“Bukti ini ditunjukkan melalui ahli-ahli PKR yang membuat bantahan.

“Jadi pemimpin PAS dan DAP mungkin terkejut dengan apa yang berlaku dalam PKR, mereka tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga meminta Umno-Barisan Nasional (BN) tidak mempedulikan masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya Ahmad berkata, biar rakyat sahaja yang membuat keputusan tentang masalah yang berlaku dalam PKR.

“Bagi BN, kita jangan jadi kuat dek kerana kelemahan orang lain, kita kena jadi kuat dengan kekuatan sendiri. Sebelum ini saya pernah cakap bahawa BN kena kuat dengan kekuatan sendiri bukan kerana kelemahan pihak lawan.

“Kalau apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat itu, biarlah... sama ada ia nak rosak atau rebah biarkan sahaja. Kita jangan peduli.

“Jadi permintaan saya, rakyat lihatlah sendiri apa yang berlaku. Adakah rakyat mahu terima parti seperti PKR ini?,” katanya.

Bagaimanapun pandangan Ahmad itu diketepikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang berkata, parti Islam itu tidak menegur PKR kerana menghormati dasar perjuangan mereka.

“Kita ada etika dalam persahabatan, ia adalah masalah rumah tangga masing-masing.

“Apa pun yang berlaku kita hormati cara mereka, jika ia berlarutan kita mungkin akan bincang dalam mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata, sekiranya mahu menegur PKR pihaknya akan menggunakan saluran yang betul bukan secara terbuka.

“Jadi tidak perlu untuk kita beri pandangan secara terbuka, kita akan gunakan saluran yang sepatutnya.

“Saya percaya masalah ini akan selesai selepas pemilihan PKR tamat, kita tidak akan serang parti komponen secara terbuka,” katanya.

Salahuddin juga menafikan bahawa PAS tidak menegur PKR kerana “takut” kepada Anwar.

“Takut kepada PKR? Tidak... saya rasa Ahmad Maslan juga tahu perkara ini, dalam BN sendiri parti komponen tidak menyerang secara terbuka.

“Malah kita juga tahu masalah yang berlaku dalam BN lagi teruk, sampai sekarang masih belum diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun, Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan terbaru Umno itu.

“Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu.

“Apa yang Ahmad Maslan nak katakan biarlah,” katanya.

No comments: