Wednesday, November 10, 2010

Zahid tuduh tanpa kajian







































SHAH ALAM 10 Nov. :
Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Wan Seng tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa masyarakat Cina dan India tidak terlibat dalam bidang ketenteraan adalah disebabkan kurang semangat patriotisme.


Beliau menegaskan, Zahid tidak sepatutnya menilai semangat patriotisme masyarakat Cina dan India berdasarkan persepsi tanpa membuat sebarang kajian.

"Kita tak sepatutnya mempersoalkan semangat cintakan negara. Sebab kita punya semangat terhadap negara kita. Ini sepatutnya tidak timbul.

Saya rasa beliau(Zahid) tidak mendapat maklumat dan gambaran sebenar tentang kedudukan orang Cina dan India itu sendiri yang punya pemikiran, perwatakan yang berbeza dari kaum lain," katanya semasa dihubungi TV Selangor, beliau juga memberitahu bahawa masyarakat Cina dan India dan kaum-kaum lain di Malaysia mempunyai kecenderungan berbeza.

Bagi beliau, apa pun bidang yang diceburi, tidak mampu menggambarkan tahap semangat cintakan negara.

"Mereka tidak berminat menyertai dalam bidang kepolisan dan ketenteraan kerana mereka cenderung dengan lapangan kerja yang lain yang lebih menjamin masa depan mereka. Jadi ini tidak ada kaitan dengan patriotisme, tidak ada kaitan tentang cinta pada negara atau tidak. Tapi banyak disebabkan oleh minat dan orentasi masyarakat yang berbeza dengan kaum lain," katanya lagi.

MIC juga mengambil pendirian yang sama dengan MCA sambil menegaskan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar mendakwa semangat patriotisme yang belum cukup tinggi di kalangan bukan Melayu sebagai punca orang Cina dan India tidak berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya sebagai seorang pemimpin masyarakat, sedih dengan kenyataan ini, lebih-lebih lagi daripada seorang lagi pemimpin masyarakat dan negara,” Datuk Dr Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.

Manakala sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyatakan, tindakan sedemikian hanya akan memudaratkan usaha memperbaiki keharmonian kaum.

Semalam Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin Shafee berhubung perangkaan rekrut terbaru tentera sejak dua tahun kebelakangan ini dan pecahan jumlah itu mengikut bangsa.

Zahid sebelum ini berkata 9,054 pegawai dan anggota lain-lain pangkat diserapkan ke ATM sejak dua tahun lalu, berbanding 14,749 yang direkrut pada 2006 hingga 2008.

Sepanjang 2008 hingga 2009, seramai 8,151 orang atau 90 peratus adalah berbangsa Melayu, 26 orang atau 0.29 peratus adalah Cina, 82 orang atau 0.91 peratus India manakala 795 atau 8.8 peratus adalah bangsa-bangsa lain termasuk kalangan bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

No comments: