PARIT BUNTAR , 10 Dis. : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.
Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, sistem undi pos terhadap golongan profesional terbabit bakal menutup ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.
Menurutnya, pihak tertentu akan mengambil kesempatan menerusi peruntukan undi pos itu khususnya dalam pilihan raya bagi mengekalkan kemenangan parti mereka.
“Apakah jaminan SPR agar ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas, telah diundi oleh pihak atasan mereka,” katanya.
Adnan berkata, sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat, malangnya kini ia ditambah, seolah-olah terdapat agenda di sebalik penambahan berkenaan.
“Tidak perlu ada lagi undi pos kerana pengundi ini boleh mengundi awal atau apa alasan sebenarnya masih diwujudkan undi pos itu.
“Sepatutnya undi pos dihapuskan kerana masih ada kaedah lain yang lebih telus dan demokratik,” katanya.
Katanya, beliau mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan itu sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian.
Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, Abdul Bahrain Desa (gambar ) berkata, perkembangan terbaru mendedahkan bahawa SPR menukar status pengundi awam terhadap isteri anggota tentera dan polis kepada pengundi pos.
“Ada bukti isteri anggota ini tidak memohon untuk menukar status itu tetapi SPR bertindak menukar status berkenaan.
“Terbaru anak-anak polis juga diminta mendaftar untuk dijadikan pengundi pos,” katanya.
Bahrain berkata, tindakan SPR itu dilihat seolah-olah menyambung ‘talian hayat’ UMNO dalam usaha mendominasi pemerintahan dengan memperkemaskan undi pos.
“Perkara ini dilakukan setelah mereka gagal mengharapkan undi dari kaum Cina dan India.
“Sekarang mereka menggunakan tongkat dan ‘talian hayat’ yang masih ada kepada mereka iaitu undi pos,” katanya.
Katanya, Pakatan Rakyat telah mengingatkan berulang kali bahawa Malaysia sebuah negara yang merdeka, sepatutnya tiada lagi undi pos, bahkan dihapuskan terus.SH
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment