KUALA LUMPUR, 2 Dis. : PAS semakin mengambil langkah dan sikap yang realistik dalam membentuk strategi dan menangani hubungan dengan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara mengatakan PR tidak perlu logo rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Abdul Hadi dalam wawancara itu menegaskan fokus yang sewajarnya diberikan kepada kerjasama yang boleh dijalankan bersama PR dan bukan hal-hal yang masih jauh.
Beliau sebelum ini menegaskan perlunya PAS menang hasil kekuatan sendiri dan bukan akibat daripada kelemahan parti lawan.
Perkembangan ini memperlihatkan usaha PAS untuk menjadi lebih mandiri dan kukuh dalam menghadapi persaingan politik di negara ini.
Pendekatan ini dilihat muncul ekoran perkembangan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dua tahun lalu yang menunjukkan masih banyak yang tidak dapat dipersetujui parti-parti PR.
Selepas berdepan pergeseran dalaman ekoran projek 16 September pada 2008, pendekatan baharu PAS ini dilihat sebagai usaha untuk parti itu bergerak berdasarkan ideologinya, dengan meneruskan kerjasama pada tahap yang dipersetujui dalam PR.
Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam satu tulisan di blog menegaskan perjuangan Islam PAS yang perlu ditegaskan dan tidak bersikap apologetik, menandakan kesedaran parti itu terhadap ideologinya yang agak tidak ditonjolkan sejak kebelakangan ini ekoran keperluan strategi.
Ketika polemik panas timbalan perdana menteri yang dikatakan dijanjikan kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang, PAS mengambil pendekatan tidak terlibat dalam debat itu, dengan Nik Mohd Amar Abdullah mengatakan tindakan memutuskan siapa timbalan perdana menteri masih jauh, kerana PR masih belum menang dan menubuhkan kerajaan pusat.
PAS juga menjarakkan diri daripada penekanan berlebihan pada Putrajaya apabila naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata usaha menguatkan parti perlu dilaksanakan terlebih dahulu berbanding bercakap tentang Putrajaya.
Tindakan tersebut memperlihatkan sikap berhati-hati PAS berdepan pilihan raya umum nanti, yang dijangka menyaksikan prestasi Umno dan BN yang meningkat berbanding sebelum ini.
PAS turut meningkatkan usaha menarik sokongan bukan Melayu, yang digerakkan dengan aktif oleh pemimpin seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Pada masa sama, parti ini turut semakin menyedari sokongan Melayu yang diperlukan, dan menggerakkan kempen untuk menjadi wakil kepada orang Melayu yang lebih berkesan berbanding Umno.
PAS mengadakan seminar PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam, Selangor bulan lalu, sebagai sebahagian usaha mempersiapkan parti mengambil peranan sebagai parti utama orang Melayu menggantikan Umno.Siasahdaily
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment