IPOH, 5 Dis. : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan Menteri Besar yang juga ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berhubung isu-isu yang berkaitan dengan agama.
Nizar berkata, pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan bersedia bertemu Zambry bagi membincangkan pelbagai isu berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun menurut Nizar, perjumpaan berkenaan perlu diketahui umum dan tidak diadakan secara tertutup.
“Perkara berkenaan perlulah ada pemberitahuan kepada rakyat, bahawa ada perjumpaan antara saya dengan dia. Jangan tertutup.
“Itu adalah cadangan daripada dia, saya sambut baik. Tapi dia tak jawab soalan saya tadi, kerana rakyat Perak perlu tahu terhadap perkara yang kami persoalkan,” katanya kepada pemberita.
Nizar berkata demikian pada sidang media di sini, setelah berakhirnya Persidangan Keempat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Dewan Negeri Yang Kedua Belas, Perak Darul Ridzuan, semalam.
Hadir sama, ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham dan Tai Sing Ng, (Kuala Sepetang).
Sementara itu, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah menggesa pihak media agar tidak memutar belitkan kenyataannya bahawa ada ADUN yang membawa masuk bomoh ke dalam Dewan Negeri.
Katanya, perkara berkenaan memang benar-benar berlaku kerana sememangnya ada bukti kukuh berhubung perkara berkenaan.
“Jangan putar belitkan cerita. Saya memang ada bukti kukuh bahawa ada ADUN yang bawa bomoh masuk ke Dewan Negeri,” katanya. SH
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment