SHAH ALAM, 5 Dis. : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk segera menyelesaikan pertikaian mereka yang membabitkan masa depan bekalan air di Selangor.
Dalam wawancara dengan akhbar The Star, Sultan Sharafuddin menegaskan baginda tidak mahu melihat Selangor terjerumus dalam krisis bekalan air akibat pendirian berbeza-beza antara Putrajaya dan kerajaan negeri Selangor.
Baginda melahirkan kebimbangan pelaburan Selangor terjejas dan rakyat Selangor menerima kesan jika usaha tidak dilakukan untuk menjamin bekalan air masa depan Selangor.
“Saya bimbang jika politik menjadi asas pertikaian, Selangor terpaksa membayar harga yang mahal pada masa akan datang” titah baginda.
Pertikaian antara kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri membabitkan pengurusan aset air di Selangor dan perlaksanaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor termasuk pembinaan loji rawatan air Langat 2 bernilai hampir RM10 bilion ringgit.
Kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor bagi menjamin harga air yang jauh lebih rendah daripada apa yang di tawarkan oleh Syabas.
Putrajaya bagaimanapun mahukan kerajaan negeri menawarkan pampasan yang lebih tinggi kepada empat syarikat konsesi untuk mengambil alih aset mereka tetapi ini tidak dipersetujui oleh kerajaan Selangor. Rundingan telah berjalan lebih dua tahun.
Pada masa sama, kerajaan negeri mengambil pendirian projek Langat 2 tajaan Putrajaya adalah terlalu mahal dan tidak perlu disegerakan kerana Selangor mencukupi bekalan air sehingga 2019.
Kerajaan negeri sedang menumpukan usaha untuk menerokai sumber air yang lebih menjimatkan duit rakyat.
Ini kerana kerajaan negeri tidak mahu rakyat dibebankan lagi dengan harga air mahal akibat pemberian kontrak-kontrak lumayan kepada syarikat kroni Umno-BN.
Dalam wawancara dengan Star, Sultan Sharafuddin berkata isu air harus diselesaikan dan soal sama ada bekalan air Selangor mencukupi sehingga 2019 atau akan habis pada 2014 sebagaimana yang di dakwa oleh Putrajaya adalah soal kedua.
Sumber-sumber istana memberitahu akhbar itu bahawa Sultan Sharafuddin telah menulis surat kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha untuk mengatasi kemelut itu.
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment