Wednesday, December 22, 2010

Umno gelabah : Semakin ramai peneroka sokong ANAK

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Kira-kira 1,000 peneroka menghadiri taklimat saman Felda yang dikendalikan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) 17 Disember lalu di Darul Ikhwan, Mengkarak dalam daerah Bera.

Taklimat itu dibuat dalam tempoh kurang tiga minggu sebelum saman dimulakan secara besar-besaran sekiranya permasalahan peneroka yang dibangkitkan tidak diselesaikan.

Dalam taklimat tersebut para peneroka yang datang daripada Felda dalam negeri Pahang, Negeri Sembilan dan Johor itu diberi pendedahan pelbagai aspek berhubung tindakan untuk menyaman Felda oleh peguam khas yang disediakan oleh Anak sebelum tindakan itu diambil kelak.

Antaranya peneroka dimaklumkan mengenai kejayaan dua kes mahkamah yang dibawa oleh peneroka ke atas Felda melibatkan peneroka Felda Sungai Koyan, Pahang dan peneroka Felda Kemahang, Kelantan.

Taklimat kepada peneroka di Bera itu merupakan siri pertama kempen Anak supaya para peneroka bangun menyaman Felda sekiranya beberapa tuntutan dari peneroka tidak dipenuhi oleh agensi itu iaitu berkaitan ketidakadilan agensi tersebut memulangkan wang tabung tanam semula (TTS) dan penipuan kadar perahan gred (KPG) sawit.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, saman tersebut akan dimulakan Januari ini jika isu-isu yang melibatkan kepentingan peneroka itu tidak diselesaikan segera.


Mazlan menjelaskan saman tersebut terpaksa diambil demi maruah peneroka sebagai tuan tanah di Felda.


“Peneroka dilayan dengan buruk seperti hamba di tanah rancangan. Pentadbiran Felda dengan mudah menghamburkan kata-kata kesat, mengherdik seolah-olah peneroka ini tidak ada nilai sedangkan mereka bekerja di tanah sendiri.


“Saya bagi contoh bagaimana Felda mempermainkan peneroka di mana mereka pertahankan pokok kelapa sawit tua untuk sumber pendapatan. Apabila Felda kata tebang pokok tua baru dibayar balik wang TTS, walaupun tak setuju tapi sebab nak dapatkan balik duit mereka RM17,000 mereka tebang. Tapi dah 8 tahun, Felda tak bayar juga.


“Lebih buruk lagi baru-baru ini diedarkan borang untuk ditandatangani peneroka minta peneroka terima RM12,000 sahaja. Habis mana RM5,000 lagi? Ada pegawai Felda kata, awak (peneroka) dapat RM12,000 pun dah bagus. Inilah hinanya nilai peneroka sehingga dipermainkan. Sedangkan wang itu dipotong daripada hasil titik peluh peneroka,” jelasnya.


Tambah Mazlan, permasalahan wang TTS ini sangat bertentangan dengan pengakuan Datuk Ahmad Maslan selepas 10 peneroka Felda Sungai Koyan menang saman Felda dulu.


Ahmad Maslan pernah berkata tidak ada gunanya peneroka bertindak menyaman kerana Felda memang mahu membayar wang TTS.

Tetapi kata Mazlan, sesudah Anak membuat bancian, masih terdapat tidak kurang 8,000 peneroka tanam sendiri yang belum dibayar wang TTS. Sedangkan mereka sudah 20 tahun mencarum dan ada yang sudah 35 tahun menunggu masih belum dapat juga.

Sementara itu, mengenai KPG pula Mazlan berkata Felda ternyata menipu jutaan ringgit wang peneroka melalui pembayaran kadar perahan sawit yang tidak tepat.

“Saya telah melihat kepada sampel 766 peneroka dari Felda Raja Alias dan Felda Sering dalam satu tahun saja mereka rugi hampir RM20,000 seorang. Contohnya buah yang masak apabila dihantar ke sebuah makmal menunjukkan KPG 25.7%, sedangkan kilang Felda hanya membayar hanya 18%. Bayangkan dengan harga menjangkau RM800 setan sekarang.


“Di seluruh negara ada 80,000 peneroka sawit. Jadi satu bulan saja peneroka sudah rugi berjuta ditipu Felda. Itulah sebabnya peneroka bergabung untuk saman Felda. Tapi kita cuba untuk berunding tapi Felda terlalu angkuh tak mahu berunding.


“Bulan ini jika tiada perkembangan daripada Felda, kita akan teruskan saman ini untuk menuntut hak kita dan inilah peluang yang dijamin dalam perlembagaan,” katanya.

No comments: