Sunday, January 2, 2011

3,800 pengundi Felda jadi rebutan di Tenang

Prk Tenang : Jui Meng garis dua cabaran besar



JOHOR BAHRU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng menggariskan dua cabaran besar yang menanti jentera pilihan raya Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor.

Dua cabaran tersebut adalah usaha Umno BN yang akan melakukan apa-apa sahaja untuk menang hatta membeli undi sekali pun, serta faktor pengundi Felda di kawasan Labis yang dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional.

“Semenjak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, kita sedia maklum jentera BN akan melakukan apa-apa sahaja untuk menyelamatkan maruah mereka daripada terus kalah dalam pilihan raya kecil negeri.

“Contohnya di Batu Sapi, Sibu, serta Hulu Selangor, begitu banyak wang ditaburkan untuk membeli undi dan merasuah rakyat semata-mata untuk menjamin kemenangan mereka,” kata Jui Meng.

“Jumlah pengundi Felda seramai hampir 3,800 orang yang dianggap sebagai undi simpanan BN juga perlu diambil kira dalam merangka strategi pilihan raya kecil ini,” tambah Jui Meng lagi.

Menurut Jui Meng lagi, taktik Najib yang baru-baru ini sahaja mengumumkan pembayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 secara tunai untuk memenangi hati peneroka juga akan menjadi cabaran kepada jentera Pakatan Rakyat di Tenang.

Namun begitu, menurutnya, jentera Pakatan dari awal lagi sudah bersedia menghadapi Umno BN dengan meletakkan calon yang mempunyai kapasiti untuk menang di Dun Tenang.

“Pakatan yakin PAS pastinya akan menurunkan calon yang benar-benar berkredibiliti dan berintegriti serta diyakini rakyat.

“Tambahan pula, persediaan jentera pilihan raya yang kemas dan teratur sudah direncanakan semenjak awal lagi untuk menawan pengundi di Tenang,” kata Jui Meng kepada KeadilanDaily.com

Kerusi N5 Dun Tenang kosong berikutan penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Penamaan calon bagi Dun Tenang akan berlangsung pada 22 Januari sementara hari pengundian jatuh pada 30 Januari.

No comments: