Anak tolak debat tertutup
LABIS, 28 Jan. : Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menolak cabaran dialog secara tertutup yang dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Katanya, dialog tertutup tidak akan membuahkan jalan penyelesaian sebaliknya hanya mengecewakan.
“Cabar, kalau sekadar tertutup tidak perlu... saya boleh telefon dia, kerana saya ada nombor telefon dia.
“Jom kita makan ikan baung di restoran bandar Segamat dan duduk bersembang dengan dia, tak payah bawa wakil 15 orang, cukup dia dan saya.
"Sembang kedai kopi, kena teh... kena nasi, saya boleh sebut apa isunya. Tetapi apa maknanya dialog tertutup dalam keadaan tidak semua isu boleh dibuka," katanya.
Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Ketua Penerangan Pas Johor berkata, siri dialog secara tertutup ini telah dibuat sejak 15 tahun lalu dengan pelbagai individu tetapi hasilnya tetap sama, sangat mengecewakan.
“Ada rasionalnya debat terbuka dilakukan, supaya warga Felda terutamanya orang muda dapat dengar, boleh muktamadkan kalau beliau berjanji, anak peneroka boleh menjadi saksi.
“Biar anak peneroka jadi saksi dan persoalkan bila perumahan untuk generasi kedua ini, hari ini tahun depan... 10 tahun lagi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, biar timbalan menteri itu menjawab secara terbuka dan pihaknya akan pegang janji-janji dikatakan, kerana mereka telah menunggu terlalu lama.
“Saya tunggu sampai esok, sebagaimana debat saya. Kita akan tunggu di mana-mana, hatta di bilik gerakan BN, saya akan datang,” katanya.
“Tetapi sampai 28 Januari ini, sekiranya jawapannya (Ahmad) masih sama, saya akan isytiharkan bahawa Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan penakut dan tidak layak serta tidak berani untuk bertanggungjawab terhadap tanah rancangan Felda,” katanya.
No comments:
Post a Comment