Usah lihat latar belakang peribadi tetapi kredibiliti
SENAI , 21 Jan. : Penilaian seseorang calon bukan terletak kepada latar belakang peribadi semata-mata, tetapi dinilai melalui keterampilan dan kredibiliti kepimpinan calon tersebut.
Calon Pas, Normala Sudirman, yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Tenang menyambut baik pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Azhar Ibrahim, 39, yang disifatkan mampu mengubah landskap politik negara dengan memberi mandat kepada kepimpinan muda.
“Tahniah kepada Azhar. Kami Pas dan Pakatan Rakyat (PR) sentiasa positif dan saya gembira dengan kepercayaan yang diberi kepada kepimpinan muda demi generasi akan datang. Dengan kombinasi lama dan baru ini akan menggarap misi dan visi memajukan negara.
“Saya optimis dan percaya pengundi di DUN Tenang bijak membuat pilihan kerana kita tidak perlu bayangan sesiapa. Bagaimanapun, kredibiliti dan keterampilan calon itu sendiri menjadi faktor penilai utama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
Normala percaya pengundi akan membuat kejutan dalam pengundian 30 Januari depan.
Malah beliau turut yakin aura seorang wanita akan meraih undian kerana 53 peratus pengundi di situ adalah golongan hawa.
“Saya percaya pengundi di DUN Tenang bijak, dan akan membuat kejutan, dan saya berkeyakinan dan beriltizam jika diberi kepercayaan tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia,” katanya.
Apa yang diharapkan katanya, pengundi diberi ruang dan saluran demokrasi membuat pilihan terbaik.SH
No comments:
Post a Comment