‘Sedangkan Israel pun menghukum Presidennya kerana merogol’
Bercakap kepada Keadilan Daily, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin hairan kerana kerajaan Umno BN langsung tidak mengambil tindakan, malah tidak membuat sebarang penafian.
“Israel – sebuah negara Zionis pun membawa pemimpin tertinggi mereka ke muka pengadilan, kenapa Umno BN masih lagi tidak mengambil tindakan terhadap menteri berkenaan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas paparan blog Rocky Bru yang menyebut bekas Presiden Israel, Moshe Katsav dihukum penjara 16 tahun atas dua kesalahan merogol dan mencabul kakitangannya.
Beberapa blog menyatakan Moshe terpaksa turun dari kedudukannya akibat wujud pertuduhan berkenaan.
WikiLeaks, portal yang digunakan pimpinan Umno BN untuk menyerang keperibadian Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan seorang menteri terlibat dalam kes rogol tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan hingga ke saat ini.
Mengulas lanjut, Samsul berkata, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan segera supaya insiden ini tidak memberikan imej buruk kepada negara
Beliau berpendapat, kerajaan Umno BN perlu memberi makluman rasmi berkaitan isu menteri yang didakwa merogol pembantu rumahnya itu, bagi membersihkan nama baik Malaysia.
“Lebih lama kerajaan berdiam diri, rakyat akan ada tanggapan, kita mempunyai dua set undang-undang. Satu untuk pemimpin-pemimpin negara yang lepas bebas dari sebarang dakwaan, dan satu lagi untuk rakyat kebanyakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment