Saturday, January 22, 2011

Beg Udara bukannya murah

Beg Udara : Cadangan Kerajaan Disifat Tergesa-Gesa, Kata FOMCA


SHAH ALAM 22 Jan. : Cadangan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan beg udara bagi semua kenderaan bermula Januari 2012 dilihat tergesa-gesa dan hendaklah mengecualikan pelaksanaannya kepada kenderaan lama, kata Bendahari Agung Gabungan Persatuan-persatuan Penguna-Penguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman.

Semalam kerajaan mengumumkan akan mewajibkan penggunaan beg udara bagi semua kenderaan, kecuali kenderaan pacuan empat roda bermula Januari 2012 dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.

Perbincangan bersama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau ringkasnya Miros dan JKJR, menyatakan beg udara adalah aksesori keselamatan yang paling penting dalam semua kenderaan.

"Untuk keadaan sekarang ini kerajaan mesti mempunyai pilihan, tidak boleh terus untuk mewajibkan. Ataupun perlu mengecualikan pelaksanaannya kepada kenderaan lama sebaliknya kepada kenderaan baru mesti memasang air bag (beg udara) dan ini (kosnya) tidak membebankan pengguna, kita sedia maklum kenderaan lama, mungkin kos pemasangan air bag (beg udara) tidak berbaloi kepada mereka," katanya yang dihubungi TV Selangor.

Yusof menjelaskan tindakan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dihargai namun soal pelaksanaan berhubung perkara ini seharusnya dikaji agar tidak membebankan rakyat khususnya pemilik kenderaan.

"Tujuannya memang baik untuk menyelamatkan nyawa jika berlakunya kemalangan jiwa dan sebagainya, tetapi persoalannya di sini ialah bebanan kos yang terpaksa ditanggung oleh pemilik kenderaan kerana bukan semuanya berkemampuan," katanya lagi.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dua syarikat pengeluar utama, Proton Holdings Bhd (Proton) dan Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sudah diberitahu mengenai peraturan baru itu.

Menurutnya, mesyuarat diadakan minggu lalu bersama wakil kedua-dua syarikat pengeluar tempatan itu dan secara dasarnya, mereka bersetuju.

Sementara itu, tinjauan Tv Selangor mendapati rata-rata pemilik kenderaan yang ditemui menyokong usaha kerajaan dalam mengurangakan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya tetapi mengharapkan pelaksanaannya tidak membebankan pengguna kenderaan dan rasionalnya pelaksanaan perkara ini kepada pemilik kenderaan lama.

Menurut Zambri Othman berkata pelaksanaan cadangan itu memerlukan kajian sejauhmana keberkesanannya dan berharap ia tidak membebankan rakyat.

"Pelaksanaannya yang penting, contoh macam pelaksanaan wajib tali pinggang belakang tetapi tidak nampak sejauh mana pelaksanaannya, tujuan baik, pengguna bagi respon baik tetapi pelaksanaannya saya tidak nampak. Kebanyakkan dari kita datang dari kalangan yang tidak mampu, jadi bagi saya ia belum mampu dilaksanakan," katanya.

Sementara itu menurut J.H Lim mencadangkan agar ada pemberian subsidi pemasangan air bag kepada pengguna.

"Kereta model lama kena hantar kilang untuk pasang air bag, kalau ia model proton itu tanggungjawab proton atau suruh kerajaan bagi subsidi, mungkin kos ditanggung kerajaan separuh, " katanya.

Menurut Badri Ibrahim pula, beliau berkata keadaan tersebut perlu mengikut keadaan kerana jika kosnya tinggi maka pelaksanaan ini kelak bakal membebankan pengguna.

"Ikut keadaan jika kos semua kenderaan sama tidak memberi masalah kepada pengguna tetapi jika melibatkan kos yang tinggi mungikin akan menimbulkan pertikaian," katanya.

No comments: