Tuesday, January 25, 2011

Mazlan ANAK cabar anak Maslan berdebat


LABIS 25 Jan. : Isu peneroka terus berkumandang di Tenang apabila Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) sekali lagi mencabar Datuk Ahmad Maslan berdebat soal FELDA.

Presidennya, Mazlan Aliman hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana di pejabat FELDA Segamat.

Beliau menambah, debat ini akan meliputi segenap isu dan menyebut tujuan cabaran debat dikemukakan disebabkan Maslan mendakwa kononnya ANAK didakwa menjadi penghasut, pembawa fitnah dan memecahbelahkan warga FELDA.

Tambahnya, debat berkenaan juga diadakan bagi menafikan dakwaan bahawa ANAK takut untuk berdepan pihak kerajaan dalam isu berkaitan FELDA.

"Pihak Datuk Ahmad Maslan memainkan satu sentimen bahawa Pakatan Rakyat sebagai penghasut, pembawa fitnah dan memecahbelahkan masyarakat FELDA.

"Tetapi kita ada fakta dan hujah yang boleh dipegaang," katanya dalam satu sidang media pagi ini.

Katanya lagi, surat berkenaan menetapkan tempoh selama dua hari kepada Ahmad untuk memberikan jawapan kepada debat berkenaan.

Mazlan yang juga anggota jawatankuasa PAS berkata, debat itu akan dilangsung pada 28 Januari - dua hari sebelum hari mengundi bagi pilihan raya DUN Tenang.

Memorandum diserahkan oleh Naib Presiden ANAK, Shamsul Bakri ditemani Setiausaha ANAK, Zabidi Alias.

Dalam memorandum itu, Mazlan menyebut peruntukan RM1.6 billion untuk pembangunan FELDA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain cadangan pemberian 500 lot tanah dipertikai kesahihannya.

Tambahnya, dakwaan pendapatan bersih peneroka FELDA sebanyak RM3 ribu sebulan adalah tidak benar dan bertujuan mengelirukan rakyat.

"Tarikh ini dipilih kerana berdekatan dengan tarikh mengundi Pilihanraya Kecil DUN Tenang supaya pengundi terdiri daripada peneroka dan generasi kedua dapat menilai kejujuran kedua-dua pihak dalam memuktamadkan isu warga FELDA dan bukannya hanya gimik politik pilihanraya semata-mata," jelas beliau.

Isu FELDA mencuri tumpuan Pilihanraya Kecil DUN Tenang menyaksikan jumlah 4,000 pengundi peneroka yang menjadi pertaruhan kali ini. Justeru Pakatan Rakyat mengharapkan kebangkitan warga FELDA menentang kezaliman Umno-Barisan Nasional sejak sekian lama.

No comments: