Tuesday, January 4, 2011

Rompak, samun, rompak : Rakyat tak selamat, jenayah bertambah, polis jaga ceramah

Peniaga getah cedera ditetak perompak

ABDUL Razak Ahmad cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di dalam rumahnya di Kampung Pedas Hilir di Rembau

REMBAU 30 Dis. - Seorang peniaga getah cedera parah setelah ditetak oleh sekumpulan perompak bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pedas Hilir, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Ahmad, 56, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan kanan akibat ditetak dengan parang oleh penjenayah terbabit.

Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, Abdul Razak memberitahu, dia dan isteri yang sedang tidur menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik sahaja terdengar bunyi bising akibat dulang disandarkan pada pintu rumahnya terjatuh.

"Lantas saya bangun dan segera mencapai senapang patah milik saya kerana mengesyaki kehadiran pencuri, namun saya tidak sempat mengisi peluru apabila perompak terbabit bertindak menendang pintu bilik tidur saya.

"Apabila mereka melihat saya memiliki senjata, beberapa perompak itu menerkam ke arah saya untuk merampas senjata itu," katanya di sini hari ini.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, dia terpaksa bergelut dan menyebabkan dirinya ditetak di bahagian kepala, muka dan tangan kanan ketika perompak itu ingin merampas senapang.

"Saya hanya memikirkan keselamatan keluarga dan nekad bergelut dengan enam perompak bersenjatakan parang itu, saya tetap melawan walaupun mereka berulang kali menetak parang pada tubuh saya.

"Namun saya rebah akibat terlalu banyak kehilangan darah ketika pergelutan itu dan penjenayah tersebut juga berjaya merampas senjata saya," ujarnya.

Katanya, perompak terbabit dipercayai warga Indonesia itu kemudian bertindak mengikat mereka sekeluarga menggunakan kain yang dikoyakkan.

Tambahnya, perompak terbabit yang tidak bertopeng kemudian menggeledah rumahnya dan melarikan senapang patah serta peluru.

"Mereka juga melarikan barang kemas, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan pemain cakera video digital (DVD) yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM40,000," ujarnya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Selamah Mohd Yusuf, 51, yang turut cedera di tangan kanannya akibat dipukul dengan pemutar skru berkata, salah seorang perompak turut bersikap aneh apabila mandi di bilik air selepas mengikat keluarganya.

"Apa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Hasil siasatan awal, kami mendapati suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari rumah mangsa.

"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

Penyamun sempat mandi
Harian Metro 31 Dis 2010

REMBAU: “Berikutan kecederaan teruk dialami, tiada apa mampu saya lakukan selain berdoa kepada Allah s.w.t supaya menyelamatkan nyawa kami sekeluarga daripada ‘serangan gila’ penyamun bersenjata,” kata Abdul Razak Ahmad, 56.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, peniaga getah itu cedera di kepala, muka dan tangan kanan apabila ditetak sekumpulan enam perompak dipercayai warga asing yang memecah masuk kediamannya di Kampung Pedas Hilir, di sini. Lebih biadab seorang suspek sempat mandi di rumah dua tingkat itu selepas menawan lima sekeluarga berkenaan dengan mengikat dan menutup mulut mereka menggunakan kain.

Penyamun dipercayai berusia 20-an hingga 30-an tidak bertopeng melarikan diri bersama wang tunai dan beberapa barangan berharga termasuk senapang patah serta peluru milik mangsa dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Menceritakan detik cemas selama setengah jam itu, Abdul Razak berkata, dia dan isteri, Selamah Mohd Yusuf, 51, yang tidur tersentak apabila mendengar bunyi bising mencurigakan seperti dulang tercampak pada pintu rumahnya.

“Sebagai langkah keselamatan, saya segera mengambil senapang patah, namun tidak sempat mengisi peluru kerana pintu bilik tidur ditendang sehingga pecah dan melihat beberapa lelaki menerjah saya untuk merampas senjata berkenaan.

“Pada waktu itu, saya hanya memikirkan keselamatan isteri serta empat anak berusia antara 11 hingga 24 tahun lalu nekad bergelut dengan enam lelaki bersenjatakan parang dan kayu.

“Namun, saya akhirnya rebah tersungkur apabila mereka menetak kepala, muka serta tangan sehingga tidak berdaya kerana kehilangan banyak darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, perompak dipercayai warga asing itu mengikat mereka sekeluarga menggunakan kain dikoyakkan manakala seorang lagi anak lelakinya di tingkat atas masih tidur.

“Suspek menggeledah rumah dan melarikan senapang patah serta peluru selain barang kemas, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan pemain cakera video digital (DVD) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM40,000,” katanya.

Kata Abdul Razak, dia yang membuka ikatan itu membuat laporan polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam insiden ngeri itu dan menganggapnya dugaan Tuhan,” katanya.

Dalam kejadian itu, isteri mangsa turut cedera pada tangan kanan akibat dipukul dengan pemutar skru. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati suspek melarikan diri menaiki kereta dan motosikal diletakkan tidak jauh dari rumah mangsa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyamunsempatmandi/Article/index_html

Peniaga Cedera Bergelut Dengan Perompak
Mstar 31 Dis 2010

REMBAU: Seorang peniaga cedera selepas bergelut dengan sekumpulan perompak yang memasuki rumahnya di Kampung Pedas Hilir dekat sini awal pagi ini.

Enam perompak bersenjatakan parang itu dipercayai masuk ke rumah berkenaan dengan mengumpil pintu belakang, dan selepas mengikat semua penghuni, mereka melarikan wang tunai, barangan kemas, komputer riba dan telefon bimbit, yang semuanya bernilai kira-kira RM40,000.

Abdul Razak Ahmad, 56, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3 pagi apabila beliau tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising, dan apabila beliau membawa senapang patahnya untuk menyiasat, belia diserang tiga perompak.

Dalam pergelutan itu beliau mengalami kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam di bahagian kepala, muka, serta tangan kanan, dan menurutnya beliau turut mengalami kecederaan di kaki kanannya akibat dipukul dengan kayu.

Beliau yang menerima beberapa jahitan akibat kecederaan dalam pergelutan itu ketika ditemui di rumahnya selepas pulang dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, petang ini berkata, senapang patahnya turut dilarikan perompak itu.

Abdul Razak berkata selepas diserang, beliau dan isteri, bersama empat anaknya yang berumur antara 11 dan 24, diikat kedua belah tangan, dan mulut mereka ditutup dengan kain.

"Kejadian itu berlaku begitu pantas dan setelah perompak itu beredar dipercayai dengan sebuah kereta, isteri saya berjaya membuka ikatannya, lalu menghubungi jiran dan polis," katanya. -BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/12/30/mstar_jenayah/20101230184906&sec=mstar_jenayah

No comments: