Wednesday, January 5, 2011

Sokongan kepada BN meningkat : Peluang terbuka harga barang naik

Petrol Naik Rakyat Terus Terbeban- Abdullah Sani





SHAH ALAM 5 Jan. : Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kenaikan harga minyak petrol RN97 sebanyak 10 sen seliter bermula tengah malam tadi, membelit rakyat yang sememangnya terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.

Tambahnya, jika begini pentadbiran ditunjukkan oleh Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Menteri Kabinet yang lain, beliau meminta supaya disegerakanlah Pilihan Raya Umum kerana rakyat tidak tahan dengan kenaikan harga barang yang begitu luar biasa ini.

"Gaji tidak naik, bonus tidak diberikan dengan alasan duit tidak ada tetapi dalam masa yang sama ketirisan berlaku, keborosan berlaku, (Najib dan Rosmah) pergi ke luar negara habiskan wang berjuta-juta untuk perbelanjaan suami isteri,(tetapi) hendak bagi duit kepada rakyat misalnya subsidi, kata negara akan muflis," kata Abdullah dalam wawancara khas di Tv Selangor hari ini.

Harga petrol RON97 naik semalam menjadikan harga terbarunya RM2.40. Kali terkahir harga bahan bakar itu dinaikkan ialah pada 1 Disember lalu.

Menurut Abdullah, sikap kerajaan yang tidak prihatin kepada masalah yang dihadapi rakyat akan membawa kepada gelombang yang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.

"Jangan lupa gelombang 2008, namakan saya satu kawasan yang Umno dapat di kawasan pekan dan tempat yang masyarakatnya intelektual dan mempunyai keterbukaan kepada informasi, tunjukkan saya satu. Ini menunjukkan bahawa jangan sombong dan bongkak.Jangan perbodohkan rakyat.

"Rakyat sudah didedahkan dengan banyak maklumat yang logik dan relevan. Rakyat sudah mendapat maklumat yang jelas bahawa kegagalan urustadbir negara inilah punca negara ini berada dalam keadaan tidak konsisten di mana rakyat menderita atas sikap ketidakprihatinan Umno-Barisan Nasional," tambahnya lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga melahirkan rasa dukacita dengan kenaikan harga minyak petrol dan minyak tanah.

"Ini adalah masalah yang serius, bukan hanya kepada kerajaan pusat, kerajaan negeri tetapi juga penduduk, masyarakat akar umbi. Mereka sememangnya menghadapi banyak tekanan, masalah gaji, kenaikan harga barang dan sebagainya. Kenapa kita harus beri mereka dengan masalah seperti ini? Tidak cukup?," soalnya ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

No comments: