Sunday, February 13, 2011

Anak muda Malaysia contohi anak muda Mesir tegak keadilan

Belia Wajar Contohi Kesungguhan Belia Mesir Tegak Keadilan


SHAH ALAM 13 Feb.: Seluruh belia disarankan agar lebih menggerakkan reformasi kerana mereka adalah tunjang dalam usaha menjana perubahan di kalangan masyarakat di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan sikap kesungguhan belia Mesir dalam menegakkan keadilan harus dijadikan ikhtibar dan contoh dalam mencorakkan masa depan negara.

Ini kerana menurut Khalid, belia di Mesir secara hakikatnya telah berjaya mengubah corak demokrasi akan datang yang selama ini dikongkong oleh pemimpin yang bersikap kuku besi.

"Perlunya pemimpin-pemimpin untuk mengingatkan pemuda bahawa corak akan datang, corak negara akan datang, corak pengurusan akan datang, dan corak pembangunan akan datang adalah bergantung kepada corak yang dibuat oleh pemuda," katanya.

Dalam satu ucapan yang dibuat, Khalid menyeru agar kesedaran belia dalam pembangunan Malaysia haruslah dipandang serius oleh segenap pihak bagi memastikan pentadbiran negara dapat dijalankan dengan lancar di masa akan datang.

"Walaupun ilmu ada di dada dan di kepala, tetapi kalau tidak digunakan dan tidak diterjemahkan sudah tentulah kita tidak mempunyai sumbangan kepada negara yang tercinta," tegas Tan Sri Khalid.

Justeru, Khalid meluahkan rasa gembiranya terhadap penubuhan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang berfungsi merancakkan lagi aktiviti-aktiviti belia di peringkat angkar umbi.

"Kita akan memantau keberhasilan usaha kita ini sebab kita telah melantik Pengarah Belia dan Sukan baru untuk menjalankan tugas ini. Jadi kita kena tengok bagaimana tugas ini dijalankan. Ini tak termasuk sukan. Belia sahaja. Aktiviti-aktiviti belia," katanya.

Khalid juga menyifatkan, pertubuhan ini adalah sebagai satu jihad dalam menggerakkan diri untuk berbakti kepada masyarakat. Melalui pertubuhan ini, belia juga dilihat mampu membuktikan jati diri masing-masing.

Turut hadir dalam majlis sama adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Abdullah.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Selangor itu dihadiri lebih 200 belia yang berdaftar di bawah PeBT melalui pemantauan Bahagian Pembangunan Belia Majlis Sukan Negeri Selangor.

No comments: