Tuesday, February 1, 2011

Arnab adalah lambang kepada kestabilan, keamanan dan ketenangan

Anwar, Azizah : Tumpu Kepada Keluarga & Amal Kesederhanaan


PETALING JAYA 2 Feb. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia mengambil semangat tahun arnab mengikut kalander masyarakat Cina untuk memberi tumpunan kepada keluarga, keselamatan mereka dan berusaha mewujudkan lingkungan yang aman.

" Arnab adalah isyarat bertuah serta lambang kepada kestabilan, keamanan dan ketenangan," kata Anwar.

Melalui perutusan Tahun Baru Cina nya, Anwar berkata, keselamatan dan kesejahteraan haruslah dikongsi bersama tanpa mengira kaum bagi mewujudkan suasana yang aman di negara ini.

" Saya yakin hasrat yang demikian murni, iaitu memastikan keselamatan serta kesejahteraan keluarga dan lingkungan juga dikongsi bersama masyarakat Melayu, India, Iban dan Kadazan.

Malah katanya, Pakatan Rakyat akan bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia untuk melaksanakan hasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang menjamin keharmonian rakyatnya.

Ia selaras dengan dasar yang dibawa oleh gagasan itu yang termeterai pada konvensyen kebangsaan kali kedua yang berlangsung di Kepala Batas akhir tahun lalu.

" Menjelang tahun 2011 Muafakat Pakatan Rakyat telah berhasil menerbitkan satu dokumen penting yang digelar Buku Jingga, zahir dari iltizam kami untuk bersama-sama rakyat Malaysia memastikan kesejahteraan negara ini," katanya lagi.

" Kepada masyarakat Cina saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!," tambahnya lagi.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula mengingatkan kepada seluruh masyarakat berbangsa Tionghua agar menyambut sambutan Tahun Baru Cina dalam suasana meriah dan aman namun biarlah secara bersederhana.

" Saya yakin sambutan pada tahun ini adalah dalam suasana yang cukup sederhana. Ekonomi negara yang belum keluar dari kekangan kemelesetan pasti terus menekan rakyat. Apatah lagi kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barangan akibat dari kenaikan harga petroleum nampaknya terus melonjakkan kos sara hidup.

" Justeru, perayaan ini seharusnya disambut dalam suasana yang boleh menjalin perpaduan tulin di antara segenap lapisan masyarakat dan kepelbagaian kaum," katanya lagi.

Namun ujarnya, kebimbangan masyarakat di negara ini bersabit bebanan ekonomi akan dipertahankan oleh Pakatan Rakyat yang akan terus memperjuangkan hak rakyat.

" Buku jingga yang kita galur sebagai tanda aras janji dan iltizam perjuangan, telah kita sebarluaskan agar rakyat melihat jelas program merakyatkan ekonominegara," ujarnya lagi.

No comments: