Friday, February 4, 2011

Polis ludah dan tengking warga tua

Warga tua diludah ketika polis surai perhimpunan aman

KUALA LUMPUR: Seorang warga tua ditengking dan diludah anggota polis di mukanya ketika pihak berkuasa itu menyuraikan perarakan dan perhimpunan solidariti rakyat Mesir, kata Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya.

“Warga tua itu hanya bertanya polis, mengapa anaknya ditahan tetapi polis memarahi dan meludah mukanya. Sedangkan, mereka sedang dalam perjalanan untuk pulang,” katanya kepada KeadilanDaily.com.

Beliau berkata, polis juga memukul dan mengheret anak warga tua itu yang sedang membeli minuman di hadapan bangunan Tabung Haji.


“Selepas ditahan, mereka dibiarkan selama berjam-jam di dalam trak polis dan tidak dibenarkan untuk bertemu keluarga dan peguam.

“Tahanan mengadu, proses soal siasat dibuat dalam keadaan mereka duduk di lantai, seolah-olah mereka ini penjenayah besar. Mereka juga ditanya soalan-soalan yang tidak masuk akal,” kata Latheefa.

Beliau berkata, beberapa peserta perarakan juga bercadang untuk membuat laporan kerana tindakan ganas polis itu manakala keluarga tahanan sedang memikirkan tindakan lanjut.
Kata Latheefa, ramai peserta perarakan dipukul, ditendang dan digari secara kasar oleh anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ketika menyuraikan peserta perarakan.

Dalam perarakan solidariti terhadap rakyat Mesir semalam, 7 peserta ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Kesemua mereka diibebaskan dengan jaminan lisan kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Latheefa bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka akan didakwa di mahkamah.

1 comment:

Anonymous said...

Pakcik tu yang bercakap bersembur ayaq liur tu yg buat polis marah tu ..hehehe