KUALA LUMPUR 17 Feb.: Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock menerima lagi tamparan hari ini dengan kerajaan negeri Selangor pula menarik diri daripada prosiding tersebut.
Sebelum prosiding bermula petang tadi, wakil kerajaan negeri Selangor, peguam Malik Imtiyaz Sarwar memberitahu panel bahawa kerajaan negeri hilang keyakinan terhadap perjalanan siasatan yang tidak langsung mencerminkan harapan rakyat yang mahukan kebenaran didedahkan.
"Setelah keluarganya menarik diri daripada prosiding, kita tidak lihat apa gunanya suruhanjaya ini diteruskan. Kita juga menyuarakan kebimbangan kita yang serupa dengan apa yang disuarakan oleh keluarga Beng Hock, iaitu di mana Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
"Dalam permohonan tersebut, selaras dengan apa yang didedahkan oleh (peguam) Gobind (Singh Deo) semalam bahawa Peguam Negara mahu mendapatkan keputusan bunuh diri," jelas beliau.
Beliau berkata, tindakan Peguam Negara berbuat demikian jelas menunjukkan Jabatan Peguam Negara telahpun mengambil satu pandangan dan oleh kerana itu, penglibatan para pegawai dari jabatannya boleh dipertikaikan.
"Dengan keputusan semakan kini seperti menunggu keputusan panel Diraja, kita persoalkan apa guna panel ini sekarang? Ia patutnya salah satu daripadanya sahaja. Kalau sekiranya suruhanjaya mendapati ada beberapa pihak bersalah dan memohon Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan, dan pada masa yang sama Jabatan Peguam Negara berusaha mendapatkan keputusan 'bunuh diri', bermaksud tindakan Jabatan Peguam Negara akan menjadi amat tidak konsisten," kata beliau lagi.
Malik seterusnya menegaskan, prosiding mahkamah mempunyai kuasa perundangan maka suruhanjaya sepatutnya membenarkan permintaan keluarga mendiang Teoh Beng Hock memfailkan semakan kehakiman semalam dan menunggu keputusan semakan dikeluarkan.
Selain itu, beliau menjelaskan memandangkan Peguam Negara yang sedang berusaha mendapatkan keputusan semakan kehakiman sebagai 'bunuh diri' maka adalah tidak konsisten sekiranya mengatakan para pegawai dari Jabatan Peguam Negara akan membantu siasatan Suruhanjaya Diraja dengan sikap kesamarataan tanpa prejudis.
"Suruhanjaya patut faham bahawa seluruh negara kini menyaksikan prosidig ini dan sekiranya keputusan panel diraja ini tidak memenuhi kehendak rakyat, rakyat akan mula memprsoalkannya. Inilah antara sebab kita membantah penglibatan pegawai Jabatan Peguam Negara," kata beliau lagi.
Pengerusi Suruhanjaya Diraja, Tan Sri James Fong Cheng Yuen mengatakan tindakan ini merupakan sesuatu yang tidak dijangkakan tetapi panel menghormati keputusan kerajaan negeri maka membenarkan wakilnya berundur.
Ditanyakan samada benar Jabatan Peguam sedang berusaha mendapatkan keputusan inkues sebagai 'bunuh diri', beliau memberitahu maklumat tersebut adalah daripada Gobind dan dipercayai benar memandangkan tiada sesiapapun wakil Jabatan Peguam Negara membangkang kenyataan tersebut walaupun Gobind telah menyatakannya beberapa kali sejak panel mula bersidang.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Diraja hari ini telah mengarahkan Setiausaha Suruhanjaya bagi memastikan agar dua pakar forensik yang telah memberi keterangan semasa inkues lalu dibawa untuk memberikan keterangan mereka.
James Foong membuat pengumuman tersebut selepas panel mendapati kenyataan ahli Patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand serta pakar forensik England, Dr Peter Vanezis amat penting dalam membantu siasatan.
Keputusan ini dibuat sebulat suara selepas panel melawat tempat kejadian di Plaza Masalam, Shah Alam pagi tadi.
No comments:
Post a Comment