Beberapa orang pemuda yang ditemui berkata, mereka mahu kerajaan memberikan tanah untuk dibangunkan bagi sumber pendapatan dan kediaman supaya dapat membina keluarga dengan lebih baik.
Ibrahim Husin, 43, dari Kampung Ketam dekat sini, berkata 80 peratus kawasan dalam Dun Kerdau adalah merupakan kawasan pertanian dan sebahagian besar sumber pendapatan penduduknya dengan pertanian.
Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 kerajaan telah membuka permohonan tanah kepada generasi muda terutama yang telah berkahwin dalam projek perkembangan kampung.
“Kami generasi kedua kampung sudah beberapa kali ditemuduga untuk diberi tanah dalam projek perkembangan kampung yang melibatkan penghulu dan wakil rakyat.
“Antara tempat yang dicadangkan ialah tanah rizab seluas 80 ekar di Kampung Paya Taram dan Kelebang. Begitu juga dengan di Kampung Lipat Kajang, Kuala Kerdau dan Bukit Lada di mana pemuda-pemuda yang sudah berkeluarga telah ditemuduga.
“Tetapi sehingga kini tidak ada jawapan yang diberikan. Sedangkan pada masa inilah paling sesuai jika kerajaan meluluskan tanah tersebut berbanding pemberian wang,” katanya.
Tambah Ibrahim, jika kerajaan berfikir untuk menumpukan pembangunan generasi muda sepatutnya lebih memikirkan pemberian tanah yang lebih memberi manfaat daripada wang yang tidak tahan selama mana.
“Sebenarnya tidak ada masalah jika kerajaan mahu membantu sebab tanah terbiar yang melibatkan kawasan paya di Paya Taram, Kelebang, Paya Rambai dan Ketam seluas 300 ekar. Apakah kerajaan tidak ada inisiatif?,” soalnya.
Kempen dalam PRK Kerdau menyaksikan pelbagai pemberian wang oleh menteri-menteri dalam bentuk bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, peneroka Felda selain jamuan makan sepanjang masa.
Sementara itu seorang penduduk lagi, Zulhazmi Yahya, 41, dari Kelebang, berkata orang Kerdau sudah banyak rugi kerana pernah ada tanah kerajaan di belakang bandar Kerdau seluas 17,000 ekar untuk dimajukan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP).
“Tetapi entah macam mana 12,000 ekar telah terlepas ke tangan Sime Darby. Melepaslah orang Kerdau, cuma adalah 4,000 ekar yang dimajukan oleh Felcra melalui sistem saham. Itu pun orang tertentu saja yang dapat.
“Sebab itu kalau kerajaan betul-betul nak menolong, ikutlah perancangan asal iaitu setiap keluarga generasi kedua diberi lot tanah untuk pertanian dan kediaman masing-masing,” ujarnya.
Di tanah rancangan Felda pula, para peneroka di gesa menuntut janji-janji kerajaan seperti hak milik tanah, rumah untuk generasi kedua dan apa sahaja bayaran sebelum 6 Mac.
"Inilah peluangnya, minta kerajaan lunaskan janji-janji tersebut hari mengundi atau lingkupkan calon BN kali ini," kata Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman.
Kata Mazlan selama ini ramai peneroka di seluruh negara percaya dengan janji-janji mulut pemimpin Umno sekiranya berlaku PRK di kawasan mereka tetapi terbukti pemimpin BN hanya berbohong.
Jesteru katanya, peneroka perlu berani menekan kerajaan dengan kuasa undi yang ada.
"Kalau janji mereka untuk membina rumah pastikan ada perjanjian hitam putih yang sah antara kerajaan dan peneroka," katanya.
No comments:
Post a Comment