KEPALA BATAS, 20 Mac: "Cetak sebanyak mungkin CD siri penerangan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) oleh panel yang dilantik dan sebarkan ke serata pelosok tanah air bagi tujuan memahamkan masyarakat tentang sikap zalim Kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, memandangkan Umno begitu resah dengan isu saman ekor dan dua isu besar lainnya membuatkan parti itu terpaksa melaksanakan pendekatan lembut dengan menggula-gulakan rakyat termasuk pada tiga pilihanraya kecil iaitu Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Merlimau dan Kerdau, baru-baru ini.
Katanya, dua lagi isu besar yang harus diketengahkan kepada rakyat ialah Buku Jingga dan debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tambahnya, Buku Jingga terus menjadi ketakutan BN sebab apa yang diperkatakan semuanya menjurus kepada 10 jaminan Pakatan Rakyat pada 100 hari pemerintahanya.
"Buat masa ini kita masih tidak mencetak sebanyak mungkin CD siri penerangan Kase, Buku Jingga dan debat antara Anwar dan Najib. Kita tidak buat sesungguhnya untuk tujuan itu walaupun ada negeri telah membuat pelancaran terutamanya buku jingga," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau yakin rakyat sendiri begitu marah ketika Kerajaan BN memperkenalkan saman ekor yang bertujuan mengutip wang untuk tabung pilihan raya umum yang bakal menjelang.
Tambahnya, tiada jalan lain kecuali bertindak menghukum kezaliman BN dengan bertindak memangkah parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat bagi membuktikan kesungguhan untuk membela rakyat yang daif dan memerlukan bumbung kebajikan.
Menurutnya, siri penerangan Kase yang ke sembilan di Pulau Pinang selepas Kedah merupakan buah tangan untuk rakyat menjawab segala tohmahan BN di mana sahaja.
Selepas ini tambahnya, Kase akan bergerak lebih mantap dan memastikan Pakatan Rakyat dapat menterjemahkan segala manifesto yang ditaburkan.
"Saya yakin saman ekor, debat Anwar dengan Najib dan Buku Jingga akan menamatkan pemerintahan BN di Malaysia," jelasnya dalam program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri di Markaz Tarbiyah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi.
No comments:
Post a Comment