Wednesday, March 9, 2011

Setelah gagal seludup pasir mula mengugut

Tindakan Ugut Pegawai KSSB, MB Beri Jaminan




SHAH ALAM 9 MAC : Pegawai dan kakitangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd atau KSSB dinasihatkan menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan profesional serta tidak berasa gentar dengan sebarang tekanan berbentuk ugutan dari pihak tertentu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan menyokong dan membantu semua pegawai dan petugas KSSB yang menjalankan tugas mereka dengan betul berlandaskan undang-undang.

Katanya, sebarang tekanan berbentuk ugutan dari pihak tertentu kepada pegawai atau petugas KSSB boleh dianggap sebagai satu perbuatan jenayah.

“Pada kita perbuatan orang yang memberikan ugutan itu ialah jenayah dan kerajaan negeri tidak akan membiarkan perkara ini berlaku dan kita akan minta AG ataupun penasihat undang-undang untuk memastikan perkara ini kalau didapati salah dan siapa yang melakukanya akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Isu itu ditimbulkan wartawan berhubung dakwaan seorang petugas KSSB menerima ugutan dari pihak tidak dikenali yang memintanya tidak melibatkan diri dengan urusan pihak atasan syarikat itu.

Difahamkan petugas itu telah membuat laporan polis kerana didakwa akan dicederakan pihak yang memberi ugutan.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong pegawai dan petugas KSSB yang menjalankan tugas dan tanggungjawab diberi dengan betul dan profesional.

“Saya beritahu bahawa pegawai-pegawai yang bekerja di Kumpulan Semesta supaya janganlah merasa takut kerana kerajaan negeri akan menolong mereka dan menyokong mereka atas tugas-tugas yang betul dan profesional,” katanya.

KSSB adalah anak syarikat kerajaan negeri yang dilantik sebagai syarikat tunggal bagi mengurus dan mengawal perlombongan pasir di negeri Selangor.

No comments: