Tuesday, March 29, 2011

Ustaz Azizan sedia tanding Timbalan Presiden



http://img154.imagevenue.com/loc870/th_13815_azizan1spot_122_870lo.jpgALOR SETAR - Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sedia bertanding jawatan Timbalan Presiden atau Naib Presiden pada muktamar parti yang dijadual Jun ini, sekiranya mendapat pencalonan.

Namun, katanya, ian bergantung kepada sokongan ahli sama ada memihak padanya atau sebaliknya.

“Pencalonan belum selesai lagi, tengok lah sama ada undian berpihak pada saya atau tidak. Jika mendapat pencalonan tinggi, dan saya yakin boleh menang serta mampu pikul amanah ketika itu, saya terima lah,” katanya, selepas menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada 33 buah sekolah bawah Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa) dan 25 sekolah pondok, semalam. Hadir sama, Pengerusi Hesa, Ahmad Yahya.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu juga bergantung kepada faktor-faktor lain, antaranya kesihatan dan sokongan ahli yang padu.

“Saya tidak mahu menyibuk dalam hal (pencalonan) itu, tetapi kalau ada sokongan yang banyak dalam kalangan ahli, saya terima tetapi pada masa sama keadaan kesihatan kurang mengizinkan, saya perlu timbang semula,” katanya.

Menurutnya, keputusannya itu mungkin berubah mengikut keadaan terkini kerana tempoh pemilihan masih panjang.

Mengulas ura-ura yang bertiup kencang mengatakan Azizan akan bertanding bagi jawatan kedua atau ketiga tertinggi parti pada pemilihan kali ini, Azizan berkata, kalah menang bukan persoalannya, yang penting ialah kemampuan calon untuk memikul amanah.

“Dari 1990 sampai sekarang saya tak berhenti bertanding; ada menang, ada kalah. Itu perkara biasa. Saya juga pernah bertanding jawatan Naib Presiden dan kalah. Biasa lah, itu perkara kecil kerana kami bukan mahu rebut jawatan, sebaliknya mahu pilih yang paling layak,” katanya.

Azizan berkata, sekiranya ahli Pas memberi amanah kepadanya untuk berkhidmat kepada parti, dia tidak akan menolak, dan menerima dengan penuh tanggung jawab selagi mampu.

“Ini amanah, jika mampu, saya terima,” katanya.

Ditanya mengenai siapa yang layak memegang jawatan Timbalan Presiden parti, sekiranya Timbalan Presiden sedia ada, Nasharuddin Mat Isa tidak bertanding pada pemilihan kali ini, Azizan berkata, ahli perlu membuat penilaian sendiri dan pihaknya tidak berdepan masalah dengan mana-mana pemimpin Pas sebelum ini.

“Itu kerja ahli untuk menilai termasuk cadangkan nama calon. Saya tiada masalah walau siapa pun yang dilantik,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Nasharuddin akan membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu setelah tersebar khabar kononnya beliau tidak akan bertanding mempertahankan jawatan itu.

Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub telah menyatakan hasrat tidak akan bertanding jawatan nombor dua itu, manakala Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa belum memberi kata putus berhubung perkara itu.SH

No comments: