Chua Jui Meng Tanya Mana UMNO, PERKASA & MUFTI berkenaan Isu Al-Kitab
Dah letih dah kami berdemo, polis pun tak kacau. Kami akan rasa letih jika UMNO yang hina agama
SHAH ALAM 3 APRIL : Tindakan Putrajaya menarik balik larangan Kitab Injil berbahasa Melayu diedar di negara ini, beserta kebenaran mencetaknya pula, didorong semata-mata oleh pertimbangan politik, khususnya menjelang pilihanraya negeri Sarawak bulan ini.
Tindakan itu kata Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sekaligus mencerminkan pendirian goyah kerajaan bersabit isu agama yang pada hakikatnya tidak boleh diganggu-gugat kedudukannya.
Justeru, tindakan drastik itu katanya, satu lagi strategi terdesak kerajaan Umno-BN untuk memenangkan parti pemerintah pada pilihanraya negeri Sarawak yang akan diadakan pertengahan bulan ini.
" Sudah tentu ini menunjukkan hanya wujud unsur politik semata-mata dan bukannya agama. Kalau soal agama selama-lamanya tidak akan berubah pendirian kerajaan. Ini semua kerana sekarang mereka rasa panas menjelang pilihanraya Sarawak," katanya.
Negara semalam sekali lagi menerima kejutan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mendedahkan 10 penyelesaian dicapai bersabit kontroversi Kitab Injil.
Bukan hanya membenarkan ia dicetak di negara ini sebaliknya penganut Kristian juga dibenarkan mengimport kitab Injil dalam sebarang bahasa, termasuk bahasa Melayu/Indonesia tanpa sebarang halangan.
Ia begitu kontras dengan tindakan kerajaan sebelum ini yang menahan 35,000 naskah Injil berbahasa Melayu sejak 2009 di Pelabuhan Kelang.
Setelah desakan demi desakan dibuat, kerajaan kemudianya akur untuk melepaskan kitab tersebut namun bersyarat nombor siri dan cop "hanya untuk penganut Kristian" harus dipamerkan pada kitab suci penganut Kristian itu.
" (Sekarang) kita lihat kerajaan kata satu peraturan di Sarawak, satu peraturan di Semenanjung. Itu bermakna unsur-unsur agama boleh dibahagikan mengikut majoriti Kristian atau majoriti Muslim.
Jui Meng turut membidas tindakan badan bukan kerajaan dan mufti pro- Umno yang berdiam mengenai isu ini.
" Apa yang saya lihat ialah PERKASA tidak buat demonstrasi, Tan Sri Harussani Zakaria tidak buat kenyataan yang mengeji, semua diam sahaja. Mula-mula peristiwa ini berlaku dahulu, ramai yang keluar memberikan kenyataan menyokong Umno.
Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad secara sinis menyindir kepimpinan Najib Razak yang dilihat semakin hilang punca dalam meraih sokongan rakyat sehingga sanggup memperkecilkan agama masyarakat lain.
Katanya, kerajaan pimpinan Najib sanggup menghalalkan apa sahaja pada masa kini, demi memenangkan parti itu pada pilihanraya negeri Sarawak 16 April ini.
Untuk rekod, penganut Kristian di Sarawak mencecah 40 peratus.
" Apabila kepentingan politik tidak lagi diperolehi malahan tindakan kerajaan Umno-BN itu mendatangkan masalah dari sudut politik maka ia dibenarkan. Itulah Barisan Nasional,"katanya.
" Atas dasar politik, mereka boleh haramkan. Atas dasar kepentingan politik juga mereka boleh halalkan berbanding dengan Pakatan Rakyat yang dari awal lagi katakan hukumnya harus kerana ia sememangnya hak orang-orang bukan Islam khususnya orang-orang nasrani berhubung agama mereka dan memang tidak ada masalah dari dasarnya," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment