Tuesday, April 26, 2011

Kaedah pemadanan Anwar sebagai lelaki Y meragukan

Peguam Anwar, Sankara Nair menolak hujah pendakwa raya yang menamakan Anwar sebagai ‘Lelaki Y’ yang disebut-sebut sebelum ini.

Ini kerana, menurut Sankara, kaedah ujian yang dijalankan ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon tidak menurut piawaian antarabangsa yang mana mereka sendiri merupakan ahli.

“Kaedah yang digunakan mereka untuk menjalankan ujian ke atas sampel DNA meragukan. Jarak masa di antara saksi pendakwa ke-25, DSP Jude Pereira mengambil sampel dari Hospital Kuala Lumpur dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia adalah kira-kira 43 jam.

“Jika diambil kira secara keseluruhan, selang masa di antara masa dan tarikh sperma berada di dalam dubur pengadu sehinggalah ia dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia, ia memakan masa selama kira-kira 97 jam (54 jam campur 43 jam),” kata Sankara.

Sankara seterusnya menyatakan tiada bukti bahawa peralatan yang digunakan dalam ujian DNA diselenggara dengan baik.

Beliau juga membangkitkan kemungkinan bukti dalam kes Fitnah II itu dipinda kerana pegawai penyiasat, Jude Pereira sudah membuka paket plastik mengandungi calitan putik kapas dari hospital dan membungkusnya semula.

Mengulas lanjut, Sankara berkata sepanjang perbicaraan berlangsung, pendakwa juga gagal membuktikan Saiful berada dalam kondominum yang didakwa tempat kejadian berlaku.

“Tiada bukti ditunjukkan Saiful memasuki bilik berkenaan mahu pun kondominium itu.

“Tiada sesiapa melihat Saiful masuk ke kondominium itu. Malah, pemilik kondominium itu, Hasanuddin tidak melihatnya di kondominium itu,” kata Sankara.

Kata Sankara, berdasarkan rakaman CCTV, pendakwa hanya menunjukkan Saiful keluar dan masuk dari lif kondominium itu – satu perkara yang sememangnya sudah dirancang dari awal lagi.

“Pendakwa perlu membuktikan Saiful sememangnya berada dalam kondominium itu.

“Dia hanya menunjukkan dirinya di kamera kerana ia sudah dirancang. (Dia tahu) Anwar berada di kondominium itu dan dia hanya perlu menunjukkan dirinya di kamera.

“Malah, Saiful sendiri tidak pernah diminta secara khusus oleh Anwar untuk datang ke kondominium itu pada hari berkenaan,” kata Sankara.

Lebih meragukan, Saiful sendiri mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai ke kondominium itu pada hari kejadian didakwa berlaku, kata Sankara.

Keadilandaily

No comments: