PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) diramal kalah apabila hanya memenangi 21 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Ahad ini, menurut satu kaji selidik.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga diramalkan tumbang di DUN N51 Balingian, yang telah disandangnya selama tiga penggal itu.
Kaji selidik dikeluarkan oleh Zentrum PRN Sarawak dan diselia oleh Zentrum Future Studies Malaysia yang diasaskan oleh Dr Hassan Hayastani.
Dalam pertandingan tiga penjuru, calon bebas yang juga sepupu kepada Ketua Menteri itu, Datuk Salleh Jafaruddin menerima sokongan tertinggi apabila memperolehi 38 peratus sokongan dan Taib dengan 36 peratus.
Dalam perebutan kerusi yang sama juga menyaksikan calon PKR, Suriati Abdullah pula menerima 28 peratus.
Menurut kajian tersebut, Pakatan Rakyat yang membariskan calon PKR, DAP dan PAS mendapat 31 kerusi.
Keputusan daripada persepsi sokongan pengundi Sarawak itu juga menunjukkan sebuah lagi parti yang menentang BN, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menerima sokongan tertinggi di 15 kerusi dan empat DUN pula didominasi oleh calon bebas.
Bagaimanapun keputusan kaji selidik yang dinamakan ‘PRN Sarawak prediksi period 1′ tersebut merupakan keputusan bagi kajian persepsi semasa dan tidak mustahil berlaku perubahan data dalam jangka masa terdekat.
Persepsi kepercayaan politik mengikut kaum
Bagi persepsi untuk perbandingan persepsi kepercayaan politik mengikut kaum pula, BN mendahului parti-parti lain dalam meraih sokongan dari kaum Melayu dan Melanau dengan meraih 48 peratus sokongan.
Manakala PR pula mengekori BN di tempat kedua apabila meraih sokongan sebanyak 40 peratus, SNAP dengan 10 peratus dan masing-masing Parti Cinta Malaysia (PCM) dan bebas satu peratus.
Bagaimanapun data dari statistik itu juga menunjukkan BN ditinggalkan jauh di tempat kedua oleh PR yang memperolehi 46 peratus sokongan masyarakat cina dan
BN dengan 34 peratus.
Turut meraih sokongan dari masyarakat Cina yang umumnya mendiami di kawasan bandar ialah parti SNAP dengan 18 peratus diikuti PCM dan bebas dengan masing-masing juga satu peratus.
SNAP sebuah parti kaum Dayak di Sarawak pula mengungguli sokongan kaum Iban apabila dijangkakan mampu meraih sokongan sebanyak 38 peratus berbanding PR di tempat kedua dengan 32 peratus.
BN yang mengekori di tempat ke tiga bagi persepsi sokongan kaum yang sama pada ketika ini meraih sebanyak 23 peratus sokongan dan bebas dengan tujuh peratus.
PR sekali lagi meraih populariti tinggi apabila diramalkan menerima sokongan terbanyak di kalangan pengundi kaum Bidayuh dengan 40 peratus manakala SNAP mengekori rapat di tempat ke dua dengan 38 peratus.
Ketika hanya mampu meraih 20 peratus sokongan masyarakat Bidayuh, BN meninggalkan jauh pesaingnya apabila dijangka meraih 51 peratus sokongan di kalangan masyarakat Orang Ulu.
Menurut hasil kajian PRN Sarawak prediksi period 1 itu lagi, PR pula memperolehi 36 peratus dan SNAP pula sebanyak 10 peratus juga bagi masyarakat Orang Ulu.
Bagi lain-lain kaum pula, BN memperolehi 53 peratus, PR dengan 21 peratus dan SNAP pula dengan 17 peratus.
No comments:
Post a Comment