Friday, April 22, 2011

PR Perlu Perbaiki Muafakat Politik



SHAH ALAM 22 APRIL: Lonjakan undi popular Pakatan Rakyat ke tahap 44.76 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 16 April lalu sebagai bukti wujudnya senario baru dalam politik di negara ini.

Bahkan rakyat di Bumi Kenyalang mula menerima pakai dasar relevan yang dibawa parti gabungan itu bersesuaian dengan revolusi kebangkitan rakyat menolak cengkaman Barisan Nasional (BN) yang diketuai Tan Sri Abdul Taib Mahmud berbanding lima tahun dahulu.

Namun masih terdapat ruang bagi gagasan itu memperbaiki objektif strategik yang disepakati menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti menurut AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam kenyataan media kiriman beliau, Dzulkefly menjelaskan muafakat politik masih belum menebal dalam Pakatan Rakyat untuk dilihat sebagai sebuah entiti berdasarkan analisis sepanjang kempen 10 hari di Sarawak.

Katanya, manifesto yang kurang menyerlah wajar diperbaiki justeru mampu untuk membantu gagasan itu menonjolkan kekuatan calon-calon yang bertanding.

Malah beliau berpendirian persepsi negatif terhadap kepincangan pentadbiran Abdul Taib sepanjang 30 tahun di negeri itu seharusnya diambil kesempatan oleh kepimpinan bagi membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar serius untuk memerintah negeri Sarawak.

"Penulis berani menyimpulkan bahawa sebagai contohnya, sehingga ke garis penamat, Pakatan tidak punya objektif strategik yang disepakati, sama ada mahu menang memerintah atau sekadar menafikan 2/3 majoriti sahaja. Soalan ini bukan sekadar akademik tetapi membawa kesan dan menyangkut pendekatan penerangan," jelas beliau.

Beliau turut menyentuh kegagalan Pakatan Rakyat untuk mengikat SNAP sekaligus membawa kesan yang buruk terhadap prestasi pencapaian khususnya PKR dan penguasaan kerusi Pakatan di DUN Sarawak dengan mengambilkira undi kaum Iban dan Dayak.

Dzulkefly seterusnya mengakui PAS masih mencari-cari sentuhan di negeri itu namun menyifatkan ianya sebagai permulaan yang baik berdasarkan penerimaan kaum Melayu-Malanau walaupun kalah tipis di Beting Maro selain memenangi 10 dari 19 saluran di DUN tersebut.

Dengan pendekatan “Grand Coalition”, Dzulkefly yakin komitmen yang bakal ditunjukkan dalam jangka masa singkat mampu melakar keputusan yang lebih baik menjelang pilihan raya akan datang malah lebih baik daripada keputusan 2008.

Justeru beliau percaya sekiranya gabungan PKR, DAP dan PAS mampu menggerakkan seluruh segmen rakyat maka negara bakal menyaksikan menyinsingnya sebuah Malaysia Baru yang diimpikan semua.

Pada PRN Sarawak minggu lalu, Pakatan Rakyat termasuk SNAP dan Bebas berjaya memberi saingan sengit kepada BN dengan memperoleh 300,288 jumlah undi iaitu perbezaan sebanyak 72,109 berbanding undi parti yang telah bertapak di Sarawak lebih dari 3 dekad.

Penganalisis merumuskan PRN terbaru ini adalah yang paling sengit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Keputusan tersebut berjaya menghakis rasa selesa Perdana Menteri Najib Razak dan Abdul Taib yang menganggap Sarawak sebagai negeri simpanan tetap parti BN.

No comments: