Friday, May 6, 2011

Guna cara apa sahaja termasuk la fitnah

Tawan Selangor Apa Cara Pun Serlah Najib Kalut


SHAH ALAM 6 MEI : Desakan Perdana Menteri, Najib Razak supaya Umno menggunakan "segala senjata" untuk merampas balik Selangor hanya mencerminkan kekalutan beliau menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie berkata gesaan Najib itu juga mendedahkan bahawa usaha Umno Selangor ini tidak memberi kesan untuk menggoyahkan pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Apa yang disuarakan oleh Najib itu sebenarnya mencerminkan tahap kebimbangan kerana usaha-usaha mereka nampaknya tidak berkesan,"kata Shuhaimi.

"Sebagai sebuah parti politik yang biasa dengan situasi-situasi seperti ini, Keadilan akan mengambil tindakan yang perlu untuk meneruskan keyakinan dan meningkatkan pengetahuan rakyat tentang agenda-agenda negeri bagi memastikan rakyat terus menyokong Pakatan Rakyat," tambah Shuhaimi.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda berkata, walaupun wujud kebimbangan mengenai 'senjata' yang dimaksudkan oleh Najib, rakyat Selangor tidak mudah diperkotak-katikkan.

"Dosa Umno-BN selama lebih daripada 50 tahun, apa yang dilakukan 20 tahun kebelakangan ini juga, ia tidak boleh dicuci sekali sahaja dengan Najib Razak turun ke Selangor. Tidak akan jadi begitu mudah sebab rakyat kini pandai menilai, melihat dan akan membuat keputusan siapakah kerajaan yang boleh menjaga kebajikan mereka.

"Rakyat tidak semudah itu untuk melupakan dosa-dosa UMNO-BN lakukan sepanjang tempoh mereka memerintah, terlalu banyak perkara yang jelak di mata rakyat," katanya lagi.

Ujar beliau lagi, Pakatan Rakyat juga sudah bersedia untuk menggempur BN pada pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut Najib "sudah hampir tiba".

"Kita bersedia untuk bertempur dalam pentas politik secara demokrasi dan sihat dan Keadilan bersedia bagi melatih jentera-jentera untuk lebih berpengetahuan dan berpengalaman dalam pilihanraya akan datang.

Najib malam tadi menggesa Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu dilihat bersungguh-sungguh mahu menebus kekalahan lalu sehingga sanggup menggunakan apa sahaja 'senjata' untuk merampas negari terkaya itu.

No comments: