Friday, May 20, 2011

Harga Makanan Dijangka Naik 30 Peratus Akhir 2011



SHAH ALAM 20 MEI: Harga makanan dan minuman dijangka melambung 30 peratus akhir tahun ini, jika trend kenaikan harga semasa berterusan akibat penarikan subsidi oleh kerajaan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenaikan harga makanan kepada 4.9 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan kos barangan akan berterusan dan dikhuatiri mencecah 8.8 peratus akhir tahun ini seperti yang berlaku tiga tahun lalu, kata beliau dalam satu kenyataan.

Anwar berkata data Bank Negara menunjukkan harga makanan di Malaysia naik dua kali ganda berbanding harga makanan dunia pada empat bulan pertama tahun ini.

Justeru beliau menegaskan sekiranya kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) gagal mengawal kenaikan harga barangan, Malaysia sekali lagi akan mengalami harga makanan tertinggi sejak tahun 2008.

"Kenaikan harga makanan adalah tertinggi pada tahun 2008 akibat kenaikan harga minyak dan petrol. Kita menjangka kesan yang sama untuk tahun 2011," ujar Anwar.

"Pada kadar kenaikan harga makanan sekarang dijangka pada akhir tahun 2011, rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding pada tahun 2005," kata beliau.

Sepanjang enam tahun lalu, harga makanan naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini hanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga tahun 2010," jelas beliau.

Sehubungan itu, Anwar sekali lagi menyatakan dasar Buku Jingga yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat adalah penyelesaian berkesan efektif untuk membanteras kenaikan kos hidup yang melambung tinggi.

Ini termasuk menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada golongan elit serta syarikat yang bersekongkol dengan Umno-BN termasuk syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Anwar menegaskan penarikan subsisi untuk barangan keperluan juga berpunca dari kegagalan Umno-BN mengekang rasuah yang menjadi faktor utama kerajaan persekutuan mngalami kerugian sekitar RM28 bilion setahun sejak 2008.

Angka itu disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Anwar berkata ketirisan yang semakin serius dalam pengurusan kerajaan juga memaksa Perdana Menteri Najib Razak memotong subsidi rakyat dengan alasan mengurangkan beban difisit negara.

No comments: