Friday, May 27, 2011

Peguam Perancis akan tiba di Malaysia, ada yang tak senang duduk


http://media1.malaysiakini.com/67/e2932d9062ca41ffde4f3ca284683da6.jpgSHAH ALAM 27 MEI : Peguam Perancis yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dijangka tiba ke Kuala Lumpur lewat Jun atau Julai untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terbaru skandal pembelian dua kapal selam Scorpene.

SUARAM mewakili rakyat Malaysia memfailkan aduan terhadap DCNS pada Disember 2009, di mahkamah Paris kerana aktiviti rasuah dalam urusan pembelian berkenaan.

SUARAM juga mengesyaki wang sogokan berjumlah ratusan juta di sebalik transaksi berkenaan, yang butirannya cuba disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan Malaysia Chronicles, peguam berkenaan akan memberi taklimat kepada warga Malaysia di beberapa tempat.

Namun tidak dapat dipastikan samada peguam Joseph Brehem yang tiba ke sini April tahun lalu akan turut hadir.

Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Perimekar Sdn Bhd adalah syarikat milik isteri Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan. Abdul Razak merupakan kenalan rapat Najib yang terlepas dari kes pembunuhan kejam warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai berbillion dollar itu dimeterai Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2002.

Pada April tahun lalu, seorang ahli perundangan Perancis, Joseph Breham memfail aduan di mahkamah Perancis berhubung skandal pembelian dua kapal selam Scorpene kepada kerajaan Malaysia.

Pengarah Urusetia SUARAM, Cynthia Gibrael turut mendedahkan dua tiket penerbangan yang disahkan atas nama Abdul Razak dan Altantuya, ke Malta, sebenarnya melibatkan seorang lagi individu ketiga.

“Siasatan mendapati Gifen- sebuah subsyarikat kepada DCNS berpengkalan di Malta, berperanan sebagai pembuat bayaran. Mereka jumpa bayaran e-tiket melibatkan Razak baginda, Altantuya dan seorang lagi,” kata Cynthia.

No comments: