Wednesday, May 18, 2011

ROS beri notis batalkan pendaftaran PKR



PETALING JAYA 19 MEI: Pendaftar Pertubuhan cuba memansuhkan Parti Keadilan Rakyat berasaskan peruntukan perlembagaan parti yang direkayasa, kata Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution.

Beliau mengulas tindakan ROS memberi notis untuk membatalkan pendaftaran parti itu mulai 9 Jun depan kerana kononnya memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Displin parti.

ROS mendakwa tindakan memecat Rajagopal a/l Andaikkalam bercanggah dengan peruntukan 32.2.1 perlembagaan PKR.

Saifuddin berkata peruntukan yang dirujuk itu tidak ada dalam pelembagaan parti. Yang ada cuma fasal 32.

Ahli yang dinamakan dalam notis ROS itu juga tidak wujud.

Saifuddin berkata ahli yang dipecat bernama Jayagopal. Beliau dipecat pada 27 April 2009 oleh Majlis Pimpinan Pusat kerana bertanding menentang parti pada pilihanraya kecil Bukit Selambau Kedah.

Saifuddin menyifatkan notis ROS itu bersifat “aneh” dan tidak menolak tindakan itu sebagai cubaan terbaru mensabotaj penyertaan parti itu pada Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

"RoS mengemukakan fakta aneh dan undang-undang yang tidak ada kena mengena.

"Semakan kita maklumat itu tidak ada nama Rajagopal tetapi ada Jayagopal," kata beliau.

Peguam Sivarasa Rasiah menegaskan pemecatan anggota parti kerana melanggar disiplin tidak ada kena mengena dengan ROS memandangkan tindakan itu adalah hal dalaman parti

Menurut peguam itu lagi, ROS perlu berpuas hati dengan laporan siasatan sebelum mengeluarkan notis di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata alasan yang digunakan oleh ROS itu pertama kali digunakan untuk membubarkan sebuah parti di Malaysia.

"Persoalannya bagaimana mereka boleh berpuas hati dengan alasan macam ini sebelum membatalkan mana-mana parti," ujar Sivarasa.

Justeru PKR akan mengumukakan surat kepada RoS hari ini untuk memberikan hujah-hujahnya bagi mempertahankan pendiriannya.

No comments: